SALAH seorang peserta menolak basikal untuk melepasi kawasan berbukit.
TIMBALAN Pengarang Kumpulan Harian Metro, [email protected] Bachok melakukan upacara pelepasan peserta.
Mohamad Fahd Rahmat dan Norazimah Narudin


Sirkit terakhir Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Ahad lalu menyaksikan saingan sengit antara peserta tempatan dan peserta luar negara yang ingin membuktikan keupayaan masing-masing dalam acara basikal lasak itu.

Disertai 1,300 peserta, kelainan trek membabitkan kombinasi jalan raya dan lasak ‘Off-road’ sejauh 35 kilometer (km) nyata menghangatkan perlumbaan.

Dilepaskan jam 8 pagi, persaingan dalam kalangan peserta bermula di garisan permulaan lagi apabila beberapa pelumba luar negara khususnya dari Thailand melakukan pecutan awal sebelum memasuki trek lasak.

Aksi yang sama turut dilakukan pelumba tempatan yang mengekori rapat sebagai ‘isyarat’ bahawa mereka juga bukan lawan yang sebarangan.

Malah, selepas 10 minit pertama, pelbagai aksi ekstrem dapat dilihat dalam kalangan peserta yang bukan sekadar hebat meredah halangan, sebaliknya cuba mempamerkan aksi terbaik mereka.

Halangan paling besar apabila peserta perlu menempuh bukit dengan ketinggian 165 meter yang mampu ‘melemahkan’ mental serta fizikal sesiapa pun.

Namun, rata-rata pelumba mengakui kombinasi dua laluan berkenaan cukup menguji keupayaan mereka untuk mengekalkan momentum kayuhan. Adat perlumbaan ada menang dan ada kalah, sirkit terakhir ini memperlihatkan kematangan peserta tempatan dan luar negara yang memberikan persaingan sengit antara mereka.

Buktinya, Mohd Zukri Tahir yang mewakili pasukan Polygon muncul juara keseluruhan kategori Lelaki Junior Master mengatasi Surachet Sun Jui dari pasukan Team Thailand All Star di tempat kedua.

Namun, dua kategori lagi iaitu Terbuka Wanita dan Lelaki Senior Master menyaksikan penguasaan pasukan Thailand apabila pelumba mereka, Supuksorn Nuntana dan Sarocha Kamonlakhon menjadi juara serta naib juara keseluruhan kategori Terbuka Wanita dan Praset Chitmart yang menjadi juara keseluruhan Lelaki Senior Master.

Penguasaan mutlak pelumba tempatan diperoleh dalam ketegori Lelaki Terbuka apabila Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi muncul juara keseluruhan diikuti Muaz Abd Rahim sebagai naib juara keseluruhan manakala, Muhammad Zahin Wahi muncul juara keseluruhan bagi kategori Junior Lelaki diikuti Khairul Aniq sebagai naib juara keseluruhan.

Juara setiap kategori di sirkit UTM membawa pulang hadiah medal dan wang tunai RM1,000 serta piala, manakala medal dan RM1,500 untuk juara keseluruhan.

Supuksorn ketika ditemui mengakui bangga kerana berjaya menawan halangan bukit dengan ketinggian 165 meter dan trek sejauh 35 kilometer dengan mudah apabila berjaya mencatat masa 1 jam 48 minit 54 saat dan berjaya mengalahkan rakan sepasukan Sarocha Kamonlakhon yang mencatat masa 1 jam 59 minit 50 saat.

“Saya sudah biasa menjadi juara di tanah air, tapi tidak sangka saya mampu mengekalkan gelaran itu apabila bertanding di negara jiran. Saya amat bebangga dengan enam ahli pasukan kami yang lain kerana berjaya naik podium dan di tangga teratas mendahului pasukan yang lain, tidak sia-sia datang dari jauh.

“Sebenarnya untuk muncul juara ini bukan mudah. Saya mempunyai jadual latihan yang ketat iaitu terpaksa berkayuh beratus kilometer setiap hari bagi mengekalkan ketahanan badan serta kemahiran teknikal.

“Selebihnya, saya jaga pemakanan, rehat dan tidur yang cukup,” katanya yang pertama kali menjejakkan kaki ke negeri ini.

Supuksorn berkata trek sejauh 35 kilometer itu agak mencabar daripada trek sebelum ini di Kulim, Kedah dan Port Dikson, Negeri Sembilan serta menguji kekuatan fizikal dan kemahiran teknikal pelumba.

“Laluan di UTM ini sangat mencabar kemahiran teknikal pelumba berbeza dengan dua lokasi HMMTB sebelum ini. Nasib saya baik kerana sudah melengkapkan diri 100 peratus dengan pelbagai kemahiran teknikal sebagai persediaan menempuh trek berbukit dan berlumpur,” katanya.

Sementara itu, Praset Chitmart ketika ditemui berkata, kejayaan yang diperolehnya berbaloi dengan usaha keras yang dilakukan bersama pasukan.

Mengakui berlaku persaingan sengit dengan Mohd Razani Husin, pemenang tempat kedua dalam kategori Lelaki Senior Master di sirkit terakhir itu, Praset lapang dada apabila dapat menamatkan saingan dengan catatan masa 1 jam 37 minit 6 saat, sekali gus memperoleh 29 mata keseluruhan sementara itu Mohd Razani mencatat masa 1 jam 38 minit 15 saat.

“Persaingan saya dengan Mohd Razani memang sengit. Perbezaan masa kami hanya satu minit lebih sahaja. Hanya dengan mengerah segala kudrat yang ada saja menyebabkan saya mampu muncul juara supaya tidak dipintas di saat-saat akhir di garisan penamat.

“Apa pun saya sangat berpuas hati dengan sirkit akhir kejohanan ini kerana cabaran yang ada sama ada membabitkan cabaran trek atau persaingan pelumba tempatan membuatkan saya dapat mengatasi sendiri kelemahan yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:01 AM