STEVE (dua dari  kanan) bersama Behe (kanan) dan Masaya (kiri).
STEVE (dua dari kanan) bersama Behe (kanan) dan Masaya (kiri).

Kota Kinabalu: Dua pemain import berasal dari Perancis dan Jepun sah diikat Sabah bagi menyarung jersi pasukan itu dalam mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.

Kedua-dua yang pernah beraksi dalam Liga Singapura dengan Jonathan Behe mewakili Warriors FC manakala Masaya Jitzono (Albirex Niigata) menyatakan persetujuan dan sudah menandatangani kontrak kelmarin.

Ketua jurulatih Steve Vilmiaire mengakui gembira mendapatkan khidmat dua pemain berkenaan bagi mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu pada musim 2017.

“Jonathan diyakini mampu membantu kami mengatasi masalah di bahagian serangan kerana sebelum ini dia menjaringkan 19 gol daripada 23 perlawanan ketika beraksi dalam Liga Singapura.

“Masaya pula mampu menguasai bahagian tengah dengan kawalan bolanya,” katanya ketika ditemui di Stadium Likas di sini, semalam.

Behe yang memiliki ketinggian 187sm memulakan karier sebagai pemain profesional bersama kelab di negaranya Montpellier dan pernah menyertai beberapa kelab lain termasuk Hamburger SV (Jerman), BEX Tero Sasana FC (Thailand) sebelum mewakili Warriors FC.

Masaya yang berasal dari Chiba, Jepun mencipta sejarah bersama Albirex Niigata apabila pasukan itu dinobatkan juara Liga Singapura buat kali pertama selain memenangi Piala Komuniti musim lalu.

Selain Albirex Niigata dia juga pernah menyertai beberapa kelab lain di Jepun termasuk JEF United Chiba, Aoyama Gakuin University dan SC Sagamihara.

Dengan kehadiran dua pemain itu, Sabah melengkapkan tiga kuota import selepas pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, dilanjutkan kontraknya bagi tempoh semusim dan hanya mencari seorang lagi pemain import.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:04 AM