FOTO ini dirakamkan pada 17 September 2016. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abd Rahman hadir pada Majlis Pelancaran Buku Meja Kopi Kelab Taman Perdana Diraja Kuala Lumpur Ke-125 bertajuk 'Timeless'. FAIL Azhar Ramli
Fuad Hadinata Yaacob


Klang: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mendahului senarai penerima darjah kebesaran sempena ulang tahun hari keputeraan ke-71 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (DK).

Turut dikurniakan DK ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, dalam istiadat yang berlangsung di Istana Alam Shah.

Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Darjah Kebesaran Dato' Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Berhad, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz antara sembilan penerima Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Soh Chin Aun dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Harjit Singh Hullon antara 10 individu yang menerima anugerah Darjah Kebesaran Dato' Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk.

Lima anak jati Selangor yang mengharumkan nama negara dan negeri dalam bidang sukan iaitu atlet paralimpik acara lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkifli; Setiausaha Kehormat Persatuan Tenpin Bowling Selangor, Shalin Zulkifli; pelumba basikal, Mohd Rizal Tisin; atlet gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi dan atlet terjun kebangsaan, Chew Yiwei dianugerahkan Darjah Kebesaran - Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (AKS).

Tiga belas individu lagi menerima anugerah Darjah Kebesaran-Setia Mahkota Selangor (SMS), 14 Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS), 17 Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS), 19 Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS), satu Bintang Kegemilangan Sukan Selangor (BKS) dan tujuh Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 11:27 AM