Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Zakaria Yusof, 65, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru dan masalah buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur (HKL), awal pagi ini.

Menantunya, Raqidah Mohd Yusof ketika dihubungi, berkata bapa mentuanya itu baru pulang daripada mengerjakan umrah, Rabu lalu.

"Arwah kemudian batuk dan mengadu sesak nafas. Pada sebelah malam kami membawanya ke HKL," katanya.

Raqidah berkata, Allahyarham menghembus nafas terakhir di sisi isteri Fatimah Ali, 65, dan empat anaknya, pada 6.45 pagi.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat, selepas Zohor, hari ini.

Allahyarham yang aktif berlakon drama dan filem sejak awal 1980-an terkenal dengan watak-watak jahat.

Antara filem lakonannya ialah Mekanik bersama Azmil Mustapha dan Datuk Yusof Haslam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 12:01 PM