Perdana Menteri menyampaikan anugerah kepada tokoh penulisan khat negara, Mohammed Yusof Abu Bakar yang dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul peringkat kebangsaan Tahun 1438H/2016M. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Tokoh penulisan khat negara Mohammed Yusof Abu Bakar dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1438H/2016M bagi menghargai sumbangannya memartabatkan Islam dan isu kemasyarakatan di peringkat nasional dan global.

Selain itu, lapan lagi, termasuk mantan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Hakim Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa Datuk Salahuddin Omar, pakar undang-undang Dr Hashim Mehat, Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia Datuk Fadilah Baharin, pakar Bahasa Melayu Dr Lim Swee Tin, wartawan Berita Harian Hasliza Hassan, atlet paralimpik Abdul Latif Romly dan Penyelaras Pentadbiran Masjid dan Surau (PPMD) Kedah Mohd Kamal Ismail turut dinamakan sebagai antara penerima Anugerah Maulidur Rasul.

Mohammed Yusof, 86 membawa pulang wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan, manakala penerima Anugerah Maulidur Rasul menerima wang tunai RM20,000, trofi serta sijil penghargaan.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tahun ini tiada perarakan diadakan seperti kebiasaan sambutan sebelum ini namun ia tidak mengurangkan kemeriahan sambutan apabila hampir 3,000 peserta dari 61 kontinjen agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, badan bukan kerajaan (NGO), penuntut dan pelajar hadir.

Bertemakan 'Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah' sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaanadalah satu acara rasmi negara sebagai usaha berterusan kerajaan meninggikan syiar Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 7:18 PM