IHSAN Penghulu Mukim Pulai, Badrul Hisham.
IHSAN Penghulu Mukim Pulai, Badrul Hisham.
Safuri Kamarudin


Baling: Warga emas lumpuh seluruh badan sejak sebulan lalu cemas apabila pokok kelapa tumbang dan menghempap bahagian dapur rumahnya di Kampung Masjid Sera, Pulai, di sini, hari ini.

Anaknya, Mohamad Rozi, 39, berkata, kejadian berlaku kira-kira 3 petang, ketika ayahnya sedang tidur di bilik bersebelahan dapur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat, namun tidak berdaya bangun untuk memeriksa keadaan.

Katanya, sebelum kejadian hujan lebat disertai ribut selama kira-kira 20 minit menyebabkan pokok kelapa berhampiran rumah tumbang lalu menghempap bahagian dapur.

"Ketika kejadian saya berada di ruang tamu bersama emak dan adik berbual sambil minum petang. Namun, terkejut sebaik mendengar bunyi dentuman.

"Saya segera memeriksa dan terkejut melihat bumbung dapur bersebelahan bilik ayah menyembah bumi dan pada masa sama mendengar suara ayah memanggil nama kami.

"Mujur pokok kelapa tumbang dan menghempap bilik ayah," katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, ayahnya trauma namun berjaya ditenangkan ahli keluarga yang lain.

"Sebagai orang tua yang sudah uzur pastinya dia takut ditambah pula tidak mempunyai kudrat untuk menyelamatkan diri jika berlaku sesuatu perkara.

"Justeru, saya mengambil keputusan berbincang dengan pihak berkuasa untuk menebang kesemua pokok kelapa dan pokok tua lain di sekeliling rumah kerana bimbang kejadian sama berulang di musim cuaca tidak menentu ini.

Sementara itu, Penghulu Mukim Pulai, Badrul Hisham Che Li, berkata dia akan mengadakan aktiviti gotong-royong menebang pokok uzur di sekitar rumah penduduk kampung dalam masa terdekat sebagai langkah keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 7:30 PM