Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-14 Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berjalan lancar di Dataran Parlimen di sini, biarpun hujan lebat awal pagi taid.

Ketibaan baginda berdua disambut dengan Hormat Diraja dan nyanyian lagu Negaraku sambil diiringi 21 das tembakan meriam.

Seri Paduka Baginda kemudiannya memeriksa pasukan kawalan hormat dari Unit I Rejimen Renjer Diraja (RRD) membawa dua panji kebesaran iaitu panji Yang di-Pertuan Agong dan panji RRD.

Istiadat kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum disusuli Hormat Diraja dan nyanyian lagu Negaraku buat kali kedua.

Baginda berdua seterusnya berkenan menerima menghadap Jemaah Menteri dan tetamu kenamaan sebelum berangkat ke Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk balik ke Kedah.

Tuanku Abdul Halim menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 hari ini dan digantikan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Baginda mencatat sejarah setelah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2012 selepas ditabalkan buat pertama kali pada 1970 untuk tempoh lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 10:24 AM
TUANKU Abdul Halim memeriksa perbarisan kawalan kehormat sempena Istiadat Keberangkatan Balik di Dataran Parlimen. FOTO Sairien NafisNAFIS