TRAK saringan kesihatan Novo Nordisk berfungsi untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetes.
TRAK saringan kesihatan Novo Nordisk berfungsi untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetes.
Nor Faizah Mohamed

Lebih 1.8 juta rakyat Malaysia tidak sedar mereka menghidap diabetes. Mengejutkan, tetapi itu realiti yang berlaku ketika ini. Lebih mengejutkan apabila diabetes jenis dua mula menular dalam kalangan generasi muda.

Diabetes antara penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menjadi masalah kesihatan global terbesar pada abad ke-21 yang mengakibatkan komplikasi kronik hingga mampu mengubah ritma kehidupan secara keseluruhannya.

Bagi menangani isu ini, Novo Nordisk dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan trak saringan kesihatan bergerak di beberapa lokasi sekitar Semenanjung untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal serta faktor risiko penyakit NCD ini.

Seramai 800 orang menjalani saringan kesihatan di trak bergerak itu dan menerusi data yang dikumpul KKM, 429 orang (53 peratus) didapati mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko bagi NCD.

Seramai 219 peserta (27.4 peratus) pula didapati mengalami masalah kegemukan, 339 (42.3 peratus) mempunyai paras glukosa tinggi dalam darah dan 136 (17 peratus) daripada mereka mempunyai tekanan darah tinggi melebihi paras normal ketika saringan dilakukan.

Golongan berisiko ini seterusnya dirujuk untuk pemeriksaan lanjutan dan pengesahan penyakit di klinik kesihatan berhampiran.

Trak saringan kesihatan yang bergerak selama sebulan sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma terutama pemeriksaan paras glukosa darah.

Hari Diabetes Sedunia dianjurkan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai diabetes, termasuk punca, langkah pencegahan dan komplikasinya kepada individu serta keluarga mereka.

Penyakit NCD adalah penyakit yang senyap dan majoriti tidak menunjukkan simptom. Saringan kesihatan secara berkala mampu mengesan penyakit ini di peringkat awal sebelum berlaku komplikasi.

Di samping itu, individu yang mengetahui mereka mempunyai status berat badan, tekanan darah serta paras gula atau kolesterol dalam darah yang tidak normal dapat mengurangkan risiko penyakit dengan melakukan saringan lalu perlu mengamalkan gaya hidup sihat.

Sambutan Hari Diabetes Sedunia tahun ini disambut dengan tema ‘Eyes on Diabetes’ yang diadakan di IOI City Mall Putrajaya bagi peringkat Malaysia.

“Dengan penularan penyakit diabetes yang semakin ketara di Malaysia, kita perlu menggiatkan usaha pencegahan dan pengesanan awal dengan sewajarnya.

“Di Malaysia, 1.8 juta rakyat Malaysia tidak menyedari mereka menghidap diabetes dan Hari Diabetes Sedunia ini menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen masyarakat untuk menjalani saringan kesihatan bagi membolehkan mereka mengetahui tahap risiko diri.

“Perubahan tingkah laku ke arah amalan gaya hidup sihat oleh individu dan komuniti secara keseluruhannya juga penting dalam mengurangkan risiko lebih ramai rakyat Malaysia mendapat penyakit NCD ini.

“Penyakit NCD boleh dicegah, namun pencegahan efektif memerlukan pembabitan aktif individu itu sendiri, selain komuniti dan kerajaan.

“Justeru, KKM menyokong inisiatif Novo Nordisk untuk bersama-sama dalam usaha membantu rakyat Malaysia mengenali faktor risiko NCD mereka,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Trak saringan kesihatan ‘Know Your Risk’ (Ketahui Risiko Anda) Novo Nordisk memulakan perjalanannya di Negeri Sembilan sebelum mengunjungi Melaka, Pulau Pinang, Klang, Kuantan, Kampus UiTM Sungai Buloh dan berakhir di IOI City Mall Putrajaya.

Usaha ini menekankan keperluan untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai betapa pentingnya pengesanan awal faktor risiko dan penyakit NCD.

Diabetes turut dianggap ‘penyakit gaya hidup’ kerana ia lebih lazim berlaku dalam kalangan mereka yang kurang aktif dan mengalami berat badan berlebihan.

Dengan perubahan gaya hidup dan pemeriksaan awal, diabetes boleh dicegah. Namun jika tidak ditangani, diabetes boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk sakit jantung, kegagalan buah pinggang, strok, buta mata dan amputasi anggota badan.

Dalam kalangan rakyat Malaysia, berlaku peningkatan dalam penyakit tidak berjangkit terutama golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas.

Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan peratus pesakit diabetes di negara ini adalah sebanyak 17.5 peratus, hipertensi 30.3 peratus, 47.7 peratus mengalami masalah kolesterol tinggi dalam darah dan sebanyak 17.7 peratus obes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 12:58 PM