Kondominium yang disewa mangsa di Tampoi dan gambar kana, palang yang dipercayai digunakan mangsa untuk masuk ke dalam rumah di tingkat 20 sebelum terjatuh. - Foto IZLAILY NURUL AIN HUSSEIN
Kondominium yang disewa mangsa di Tampoi dan gambar kana, palang yang dipercayai digunakan mangsa untuk masuk ke dalam rumah di tingkat 20 sebelum terjatuh. - Foto IZLAILY NURUL AIN HUSSEIN
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium dekat Tampoi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohammad, 23, terjatuh selepas cuba meniti palang melintang yang menghubungkan koridor rumah dengan dapur ketika hendak masuk ke dalam rumah kerana tiada kunci.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan menerusi talian 999 pada 3.59 pagi dan hasil temubual, rakan serumah mangsa mengatakan kali terakhir mangsa menghubunginya pada 3.20 pagi tetapi dia sedang tidur dalam bilik.

"Mangsa dipercayai mahu masuk ke dalam rumah namun tiada kunci. Dia kemudian dipercayai meniti palang berkenaan yang menghubungkan koridor dan dapur.

"Tingkap dapur pula separuh terbuka dan penelitian dalam dapur menjumpai sebelah selipar mangsa, manakala sebelah lagi berada berdekatan mangsa," katanya.

Mohd Taib berkata, rakan mangsa menyatakan ini bukan kali pertama mangsa masuk ke rumah melalui tingkap itu dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).

Katanya, jenazah mangsa dibawa pulang ke Melaka selepas dituntut ahli keluarga di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Difahamkan, mangsa sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 4:42 PM