SULTAN Mizan (tengah) diiringi Ahmad Razif (kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil Masjid Al-A'Azim, Felda Kerteh yang mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Keceriann peringkat Daerah 2016 pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di negeri ini untuk mengelak sebarang bentuk percakaran sesama sendiri dan menjauhi amalan berpuak-puak.

Baginda bertitah, umat Islam perlu mengamalkan sikap terbuka dan bertoleransi supaya kita dapat hidup aman daman, saling hormat menghormati dan serta mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

"Dengan tema Ukhwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah, wajarlah kita menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh terbaik.

"Dengan ketinggian peribadi dan keluhuran akhlak serta keistimewaan Rasullah SAW dapat membentuk umat manusia.

"Baginda tidak menggunakan kekerasan tetapi merubah manusia dengan memberikan contoh ikutan yang baik dengan semangat ukhwah, kasih sayang serta prihatin kepada soal-soal kebajikan masyarakat sehingga terbentuk negara Islam yang berdaulat di Kota Madinah," titahnya sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1438H/2016M di Stadium Negeri Terengganu.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Fatimatuz Zahra'.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Speaker DUN, Datuk Mohd Zubir Embong serta exco-exco kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 7:51 PM