Lakonan Ariff sebagai Buntat menjadi.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penerbit drama 7 Hari Mencintaiku Datuk Ziela Jalil terharu apabila watak Buntat menjadi 'trending' di laman sosial sejak petang semalam.

Ziela menyifatkan watak Buntat lakonan Adik Muhammad Ariff Abdullah, 12, semula jadi dan tidak dibuat-buat.

"Alhamdulillah saya seronok apabila mendapat tahu penonton tersentuh dan menyukai watak Buntat. Sebagai penerbit saya mengagumi lakonan Adik Ariff kerana dia kelihatan sangat semula jadi apabila berlakon.

"Apabila ada drama kekeluargaan seperti ini iaitu sedih, sebenarnya ia secara tak langsung dapat melembutkan hati penonton. Apa tidaknya mereka turut sama merasai apa yang disampaikan dalam drama ini," katanya kepada Harian Metro.

Ziela yang juga pelakon drama Tuan Anas Mikael tidak keberatan untuk menawarkan drama lain kepada Ariff selepas ini.

Bagi Ziela bakat yang ada dalam diri pelakon kanak-kanak itu wajar untuk diketengahkan.

"Walaupun pada awal episod banyak yang mengkritik drama ini yang mengatakan  mengajar golongan wanita derhaka pada suami dan mak mentua, tapi sebenarnya banyak pengajaran yang disampaikan di sebalik jalan ceritanya.

"Apabila setiap watak membuka hati dan minda, pasti saja  banyak iktibar yang boleh diambil. Contoh terdekat watak Buntat," katanya.

Ziela berkata, drama itu adalah lakonan pertama Ariff di bawah produksi miliknya.

Difahamkan Ariff bakal muncul dalam filem Jibam pada Julai tahun hadapan yang mana diangkat daripada siri komik popular Ujang.

Terdahulu watak Buntat menjadi bualan pengguna laman sosial apabila watak itu meninggal dunia.

Rata-rata komen yang ditulis sedih dengan babak itu dan memuji lakonan Ariff.

Pada masa sama, banyak juga yang tertanya-tanya apa dan siapa itu Buntat selepas peminat siri ini menulis di laman sosial masing-masing.

Drama yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 ini menampilkan pelakon Shukri Yahaya dan Siti Saleha sebagai watak utama.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 12:38 AM