INTEAM bersama Adik Viral.

Demi mencari kelainan dan mengumpul peminat baru, kumpulan nasyid Inteam berkolaborasi dengan Adik Viral menerusi lagi Ya Rabbi, ciptaan DJ Fuzz. Lagu itu yang masih kekal berkonsepkan ketuhanan diberi suntikan irama rap yang mana bahagian itu dilunaskan Adik Viral.

Menurut Muhammad Hazamin Harun mewakili tiga lagi anggota Inteam, Mohd Syahril Ab Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad, apabila DJ Fuzz berikan lagu itu kepada mereka, terus Inteam tertarik hati untuk merakamkannya. Mereka juga terima cadangan DJ Fuzz untuk menampilkan Adik Viral atau nama sebenarnya Ahmad Amsyar Ahmad Sabri, 20, dalam single itu.

“Kami serahkan saja kepada DJ Fuzz kerana dia yang mencungkil bakat dua beradik kembar itu, maka tentu dia lebih tahu siapa yang sesuai ditampilkan dalam Ya Rabbi. Meskipun Inteam sudah lama dalam industri hiburan tanah air, namun ia bukan halangan untuk kami bekerjasama dengan orang baru kerana apa jua genre muzik yang dibawa, hala tuju kami tetap sama. Selain untuk berhibur, ia juga bertujuan mendidik masyarakat.

“Kemunculan Adik Viral dalam single terbaru Inteam juga memenuhi hasrat kami untuk mengumpul peminat baru. Peminat sedia ada yang membesar dengan lagu kami tetap dihargai dan tidak pernah dilupakan, namun kami juga perlu melakukan pembaharuan.

“Melodi Ya Rabbi sudah lama dirakamkan oleh Rabbani menerusi lagu Intifadah dan Pergi Tak Kembali. Alhamdulillah lagu-lagu itu diterima baik peminat. Ya Rabbi adalah percubaan pertama kami dan berharap dapat diterima pendengar. Kami juga sudah bersedia untuk menerima kritikan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 6:11 AM