BOT yang dinaiki sembilan pemancing dan tiga anak kapal. FOTO ihsan APMM
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Bot membawa tiga anak kapal dan sembilan pemancing dilaporkan hilang selepas mengalami kerosakan di perairan Mantanani, Kota Belud, dekat sini.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik bot, semalam, selepas usaha menjejaki kumpulan pemancing itu gagal.

"Menurut pengadu, kumpulan pemancing itu keluar memancing pada 10 Disember lalu dari jeti pancing Kota Kinabalu dan dijangka pulang semalam.

"Bagaimanapun, dia menerima panggilan daripada kapten bot dikenali sebagai Hanrdy Rajja, pada 3.07 petang yang memaklumkan kotak gear bot rosak dan kedudukan mereka kira-kira 21 batu nautika barat laut Pulau Mantanani," katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

Tambah beliau, mereka mengarahkan kapal lain mengesannya, namun gagal.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan Kapal Maritim (KM) Memmon dan KM Berani selain bantuan Kapal Diraja (KD) Paus dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Selain itu, permohonan tambahan aset pasukan SAR juga dilakukan membabitkan agensi penyelamat yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 10:43 AM