PENDATANG asing tanpa izin yang ditahan ketika bersembunyi di dalam hutan. FOTO ihsan PPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan di kawasan Pantai Pulai Hijau, Desaru di sini, hari ini.

Timbalan Komander PPM Wilayah Dua Johor, Superintendan Shaari Ariffin berkata, Op Landai yang dianggotai lapan anggota PPM Pengerang itu diadakan antara 2 pagi hingga 4 pagi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, 37 PATI warga Indonesia berusia antara 10 hingga 50 tahun yang ditahan itu terdiri daripada 28 lelaki dan sembilan wanita termasuk seorang kanak-kanak.

"Mereka ditahan dalam lima serbuan berasingan ketika bersembunyi dalam hutan berhampiran pantai itu dipercayai sedang menunggu bot pancung untuk pulang ke negara asal mereka.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba keluar melalui jalan tidak diwartakan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikutAkta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Katanya, PPM akan meneruskan risikan dan operasi untuk mengesan dalang dan tekong yang menguruskan penyeludupan PATI melalui jalan yang tidak sah.

"Kita juga menyeru kepada masayarakat supaya sentiasa memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 2:24 PM