Kepala Batas: Menyedari saingan sengit bakal dihadapi pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Nibong Tebal pada 25 Oktober ini, Team Ragaih Bukit (TRB) mempertaruhkan 10 pelumba terbaik untuk mencipta kejutan.

Jurucakap TRB Mohd Faizal Zainoldin berkata, ini kali kedua mereka menyertai Harian Metro MTB dan mensasarkan podium untuk kategori Jamboree Veteran.

"Kami mensasarkan podium untuk kategori Jamboree Veteran manakala untuk kategori master, kami mahu memperbaiki ranking dengan menduduki tempat 100 ke bawah.

"Sebagai persediaan, mereka melakukan latihan kayuhan 70 kilometer (km) setiap hari minggu manakala 30km pada hari bekerja.

"Rakan memberitahu trek di Nibong Tebal agak mencabar sebab itu kami membuat latihan lebih bagi memastikan benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal," katanya.

Menurutnya, Harian Metro MTB acara yang dinanti-nantikan dan beliau bersyukur Nibong Tebal dipilih sebagai lokasi kejohanan kali ini.

"Kami memang sentiasa ternanti-nanti Harian Metro MTB diadakan selepas diperkenalkan tahun lalu dan bersyukur kerana kali ini lokasinya di negeri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:06 AM