JOHAN merasmikan Pameran New Comers.
JOHAN merasmikan Pameran New Comers.
KARYA halus penuh teliti hasil kerja tangan artis muda Effi Shafiq.
KARYA halus penuh teliti hasil kerja tangan artis muda Effi Shafiq.
JOHAN melihat dan menghayati setiap karya yang diketengahkan 10 artis muda yang menyertai pameran.
JOHAN melihat dan menghayati setiap karya yang diketengahkan 10 artis muda yang menyertai pameran.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Bukan mudah bagi artis muda menapak dan menempa nama dalam industri seni tempatan, malah setiap peluang yang ada perlu dimanfaatkan.

Bagi membantu karya lebih dikenali dan memberi pendedahan, penting bagi golongan ini terus berkarya dan mempamerkan hasil seni kepada penonton dan penggemar seni tempatan.

Ini bukan saja membuatkan karya lebih dikenali malah turut membantu mereka membina keyakinan diri dan berkembang dari semasa ke semasa.

Sentiasa membuka peluang dan mengetengahkan barisan artis muda, Balai Seni Visual Negara (BSVN) sekali lagi membuka tirai pameran di ruang Creative Space bermula 19 November hingga 25 Disember ini.

Pameran yang diberi nama New Comers itu mengetengahkan karya seni halus 10 artis muda yang terdiri daripada lepasan institusi pengajian tinggi awam dalam bidang seni halus seperti Universiti Teknologi Mara kampus Shah Alam dan Seri Iskandar serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Menghayati setiap kerja tangan ditampilkan enam artis lelaki dan empat artis perempuan itu ternyata mencerminkan semangat tinggi serta jiwa besar mereka untuk saling bersaing dengan sihat dalam bidang seni.

Barisan artis muda yang mengambil bahagian adalah Amy Nazira, Fatimah Rahmat, Ony Jamsari, Roza Khir, Hidayat Arshad, Aizat Amir, Effi Shafiq, Hady Aris, Hafiz Gapor dan Tomi Heri.

Semua artis muda terbabit mengetengahkan genre dan gaya berbeza serta identiti tersendiri yang dapat memberi gambaran terhadap bakat dan diri mereka.

Penulis teruja melihat semua karya yang digantung pada pameran berkenaan namun satu karya yang mencuri perhatian adalah karya daripada Ony Jamsari.

Menurut Ony, karya impressionisme yang mengetengahkan landskap alam semula jadi di dalam figura wanita itu dihasilkan menggunakan campuran media akrilik dan arang di atas kanvas.

“Saya suka gunung dan alam semula jadi. Sebab itu dalam karya ini saya tampilkan landskap yang menghijau namun ia adalah simbol kepada perilaku dan tindakan semula jadi manusia,” katanya.

Ketika ditanya, Ony berpendapat, pameran seumpama itu peluang terbaik bagi artis muda untuk menonjolkan bakat dan identiti mereka.

“Pameran ini peluang bagus untuk artis muda ketengahkan bakat dan hasilkan kerja seni mengikut identiti dan ‘content’ kami sendiri.

“Ini secara tidak langsung kami jujur dengan diri sendiri dan jujur dengan karya yang kami tampilkan kerana kami dapat ekspresikan diri dan pada masa yang sama tonjolkan identiti dan gaya kami kepada penonton,” katanya.

Pameran New Comers dilancarkan pada bulan lalu. Ahli Lembaga Pembangunan Seni Visual dan artis terkemuka, Johan Ishak merasmikan pameran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 6:46 AM