OZIL

Berlin: Dua bintang Jerman Jerome Boateng dari Bayern Munich dan Mesut Ozil dari Arsenal berbalas komen di Twitter selepas kedua-dua kelab mereka dijadualkan bertemu di Liga Juara-Juara.

Bayern dipertemukan dengan Arsenal dalam undian 16 pasukan terakhir dan akan menentang Gunners pada 15 Februari di Allianz Arena dan 7 Mac di London.

Kelab Jerman itu menewaskan Arsenal lima kali sepanjang 10 pertemuan Liga Juara-Juara dengan dua seri dan tiga kekalahan.

Bayern tewas 0-2 kepada Arsenal pada peringkat kumpulan, Oktober 2015 tetapi kemudiannya bangkit membelasah lawan 5-1 dalam perlawanan timbal balik di Munich pada bulan berikutnya.

“OK, sekali lagi...” kata pemain tengah Arsenal Ozil menerusi Twitter.

“Setiap tahun sama saja,” balas pertahanan Bayern Boateng menerusi akaunnya.

“Tahun ini, kita berada di tahap sama, bro,” balas Ozil, di mana Arsenal ketinggalan tiga mata berbanding pendahulu Chelsea manakala Bayern mendahului Bundesliga.

“Awak sudah katakan perkara sama sebelum ini,” balas Boateng. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 8:07 AM