Nyon, Switzerland: Manchester United akan berdepan Saint-Etienne dalam aksi 32 pasukan terakhir Liga Europa yang bakal mempertemukan pemain termahal dunia Paul Pogba (gambar) menentang abangnya Florentin buat kali pertama.

Skuad Jose Mourinho akan menanti kunjungan kelab Perancis itu pada perlawanan pertama 16 Februari ini di Old Trafford dengan perlawanan timbal balik pada minggu berikutnya.

“Ia sesuatu yang bagus. Paul tertawa mengenainya dan saya pasti abangnya juga tertawa,” kata Mourinho selepas undian di Nyon semalam yang tertumpu kepada hal keluarga Pogba.

“Ia jarang berlaku dalam sejarah bola sepak dan ia sesuatu yang bagus.”

Pemain tengah United Paul mewakili Perancis tetapi Florentin, seorang pertahanan bermain untuk Guinea dan kedua-dua mereka tidak pernah bertemu satu sama lain dalam perlawanan kompetitif.

Florentin, 26, tiga tahun lebih tua daripada Pogba yang jauh lebih popular , dibeli United pada harga 89 juta pound (RM502.9 juta) dari Juventus musim panas tahun ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 8:08 AM