ANTARA penyokong yang hadir di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Kira-kira 300 penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di luar perkarangan Istana Kehakiman, Presint 3 di sini, hari ini.

Mereka menunggu keputusan permohonan semakan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Penyokong dilihat mula berkumpul sejak 8 pagi, namun mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam perkarangan Istana Kehakiman kerana dikawal rapi oleh pihak polis.

Selain itu, polis turut memasang besi penghadang dalam jarak kira-kira 100 meter di sekeliling bangunan Istana Kehakiman bagi mengelakkan penyokong memasuki bangunan mahkamah.

Sepanjang menunggu keputusan, penyokong turut mendengar ceramah yang disampaikan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Pada 12 Oktober lalu, permohonan semakan berkenaan didengar panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 10:32 AM