MOHAMED Aznanshah (tengah) memeriksa barangan rampasan yang dilupuskan. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


Sungai Petani: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri melupuskan 52,577 unit pelbagai barangan tiruan termasuk cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) bernilai lebih RM898,900 sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri, KPDNKK Kedah, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, semua barangan itu adalah daripada 283 kes di seluruh negeri itu.

"Barangan yang dilupuskan adalah mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Langsung dan Skim Piramid 1993 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999.

"Barangan rampasan membabitkan kes di seluruh cawangan di negeri Kedah yang berjaya diselesaikan dalam proses mahkamah dan mendapat kebenaran untuk dilupuskan," katanya pada sidang media selepas melupuskan barangan rampasan di Bukit Makmur, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Cawangan Sungai Petani, Sha'arani Miskat dan Ketua Cawangan Baling, Mazlan Safar.

Dalam siri keempat program pelupusan eksibit itu, pelbagai barangan bernilai lebih RM204,000 dilupuskan KPDNKK negeri semalam membabitkan 68 kes di seluruh negeri itu.

"Antara barangan yang dilupuskan seperti VCD, DVD, aksesori telefon, beg sandang, aksesori pakaian, produk minuman tiruan, dan pelbagai barangan lain, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 2:28 PM