SENARAI barangan terkawal. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Krismas 2016 akan mula berkuatkuasa pada 19 hingga 28 Disember ini dengan 18 jenis barangan harga terkawal dikuatkuasakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, skim itu dilaksanakan selama 10 hari iaitu enam hari sebelum perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

Beliau berkata, skim itu dilaksanakan mengikut Akta Kawaan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Antara barangan harga terkawal termasuk ayam hidup; ayam standard; ayam super; ayam tua hidup, ayam belanda import, kepak ayam, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing/biri-biri import bertulang, daging kambing/biri-biri import tanpa tulang dan daging paha kambing/biri-biri bertulang.

"Barangan lain termasuk telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, tomato, lada benggala hijau, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain.

Hamzah berkata, pegawai penguatkuasa KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan orang ramai di pasar awam; pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 3:18 PM