Durakovic selepas sesi pertemuan tertutup bersama MB Selangor. FOTO HM/OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Shah Alam: Hasrat penyokong Red Giants melihat Mehmet Durakovic kembali membimbing Selangor tidak kesampaian apabila bekas pengendali pasukan itu memilih untuk pulang ke Australia pada cuti Krismas ini.

Durakovic, 51, yang berjaya membantu skuad Merah Kuning menamatkan misi '33' dengan menjulang Piala Malaysia musim lalu, hadir ke Pejabat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) hari ini bagi membincangkan beberapa perkara termasuk tawaran untuk membimbing pasukan.

Bagaimanapun, pertemuan itu gagal mencapai kata sepakat dan Durakovic mengakui bersedia kembali memimpin pasukan pada masa depan.

"Saya gembira selama menjadi jurulatih untuk Selangor dan ianya akan kekal sebagai kenangan terindah yang saya percaya sukar dicari ganti.

"Untuk membimbing pasukan semula rasanya tidak dan saya akan pulang ke Australia selepas ini," katanya ketika ditemui di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) sebentar tadi.

Sementara itu, bekas pengurus Selangor, Amirudin Shari yang turut serta dalam pertemuan itu mengucapkan terima kasih kepada Durakovic yang berjaya membawa perubahan kepada pasukan itu hingga menjulang Piala Malaysia pada musim lalu.

"Kita ada menawarkan kepadanya namun ia bukan berkenaan pasukan Selangor (skuad Liga Super). Tetapi lebih kepada pembangunan.

"Walaupun tidak berjaya, beliau ada menyatakan hasrat bersedia untuk kembali membantu Selangor pada masa akan datang sekiranya diperlukan," kata Amirudin.

Sebelum ini, nama bekas ketua pasukan Selangor pada pertengahan era-90an itu dikaitkan untuk memegang semula jawatan itu selepas disingkirkan FAS penghujung musim lalu.

Selangor antara pasukan yang masih belum melantik pengendali tetap biarpun saingan Liga Malaysia (Liga-M) hanya tinggal kurang dari sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 7:53 PM