Sungai Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, Baling lokasi mangsa dikhuatiri lemas dan Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Mohd Suffian Alias berbincang serta mengumpul maklumat daripada penduduk. Gambar ihsan bomba dan Syed Alias Syed Omar
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Remaja lelaki 16 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, di sini petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Suffian Alias berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.36 petang dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi jam 5.16 petang.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh 16 anggota bersama sebuah jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Baling dan Sungai Petani, Unit RIM serta sebuah bot aluminium.

"Setibanya di lokasi, pihak kami dimaklumkan seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di situ.

"Tindakan mencari dan mengesan mangsa lemas di air sedang dilakukan dan pihak kami sedang menunggu anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani," katanya dihubungi tadi.

Katanya, pihaknya turut dibantu anggota dari BBP Kulim Hi Tech dan setakat jam 6.30 petang tadi operasi mengesan mangsa sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 9:04 PM