Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dan Toh Puan Temenggong Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff berkenan hadir pada Majlis Pemasyhuran Pelantikan Duli yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Tunku Temenggung Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah pada majlis penuh adat istiadat diraja di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Pada istiadat pemasyhuran gelaran dan mengangkat sumpah serta menjunjung duli itu,

Tunku Sallehuddin, 74, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah Sultanah Hajah Haminah Hamidun.

Tunku Sallehuddin mengangkat sumpah dengan melafazkan taat setianya untuk melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas serta sentiasa patuh dalam menjunjung titah Sultan Kedah.

Baginda kemudian menandatangani watikah Sumpah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah sambil disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar Datuk Hashim Hamzah dan Ketua Hakim Syarie Negeri Datuk Syeikh Abd Rahman Abdullah.

Sultan Abdul Halim turut berkenan mengurniakan Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah kepada adindanya itu sejurus istiadat mengangkat sumpah dan menjunjung duli.

Istiadat pemasyhuran itu turut disaksikan Tunku Panglima Besar Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan Tunku Laksamana Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 12:53 PM