Gaya muzik Yuna mendapat perhatian. FOTO YouTube
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Lagu On Ghost Ridge dendangan Yuna dan Nicholas Pike disenaraikan dalam pencalonan awal kategori lagu Asli Terbaik Academy Award ke-89 yang bakal berlangsung pada Februari 2017.

Lagu ciptaan Nicholas yang juga pemenang anugerah Emmy itu dihasilkan untuk filem dokumentari 100 Years: One Woman’s Fight for Justice.

Ghost Ride antara 91 lagu disenaraikan Academy of Motion Picture Arts and Sciences dan lima terbaik akan diumumkan pada 24 Januari 2017 sekali gus layak dipertandingkan di acara berprestij itu nanti.

“Gaya muzik Yuna mendapat perhatian luar biasa ramai penerbit hebat termasuk David Foster dan Pharrell Williams.

“Namanya meledak di Amerika Syarikat (AS) malah single Crush nyanyiannya bersama Usher mencatat 11 juta tontonan di YouTube,” kata penerbit dan pengarah filem berkenaan, Melinda Janko mengenai pemilihan Yuna.

Dokumentari terbabit mengisahkan Elouise Cobell, pejuang Blackfeet dari Montana memfailkan saman terhadap kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat pada 1996 berikutan penyelewengan dana persatuan Native American.

Terdahulu, lagu Shine Your Way dendangan Yuna bersama band Owl City pernah disenaraikan dalam pencalonan awal Academy Award 2014.

Bagaimanapun, lagu runut bunyi filem animasi The Croods itu tidak terpilih sebagai Top 5.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 5:48 PM