Album Faizal atasi ribuan album antarabangsa lain. FOTO HM/WARNER
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Penyanyi Faizal Tahir terharu dan tidak menyangka album terbarunya, Anatomi menjadi pilihan Apple Music untuk diangkat sebagai album terbaik 2016.

Faizal ketika dihubungi berkata Anatomi adalah album Melayu pertama yang dipilih pihak terbabit sekali gus mengatasi ribuan album antarabangsa lain.

"Saya anggap ini penghargaan terbesar pernah saya terima dalam industri muzik. Apabila Warner Music memaklumkan perkara ini, rasa bagaikan tidak percaya.

“Ia buat saya semakin bersemangat untuk berusaha lebih baik selepas ini,” katanya.

Faizal turut mengakui terkejut apabila Anatomi yang sebelum ini terpalit kontroversi berikutan kulit album itu dipertikai ramai dipilih sebagai yang terbaik.

“Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Syukur album yang dilancarkan pada November lalu ini mendapat pengiktirafan pihak antarabangsa,” katanya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam Anatomi adalah Assalamualaikum, Sayang, Sejati dan Setia, Suriram, Menang dan Bukan Yang Pertama.

Selain itu, turut diselitkan lagu bonus iaitu Dirgahayu, Negaraku dan tiga versi Assalamualaikum iaitu versi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014, Anugerah Juara Lagu ke-30 serta akustik.

Album yang dihasilkan Faizal Tahir ini diedarkan Warner Music Malaysia Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 7:03 PM