Mayat dua beradik ditemui di dalam Sungai Balak, Kampung Simpang Balak petang tadi. FOTO ihsan bomba
Norizuan Shamsuddin


Kajang: Dua beradik berusia 11 dan 14 tahun ditemui lemas di dalam Sungai Balak, Kampung Simpang Balak, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Faizad Amirul Abdul Razak berkata, mayat Mohammad Afizuddin Ahmad Tarmizi, 14, ditemui pada 5.42 petang, manakala adiknya, Ahmad Basri Ahmad Tarmizi, 11, pada 6.14 petang tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati dua beradik itu dipercayai mandi di sungai terbabit dan dua lagi rakan mereka memancing.

"Bagaimanapun, dua beradik terbabit dipercayai dihanyutkan arus deras. Kejadian disedari oleh salah seorang bapa kepada rakan mangsa yang berada di lokasi sebelum memaklumkan kepada bomba.

"Susulan itu, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dan pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam dan berjaya menemui dua mangsa terbabit.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 7:25 PM