Gambar fail 27 November 2016-Ku Othman Ku Jiwa, 55, menunjukkan daun pokok yang dipenuhi ulat di Kampung Kuala Tebengau, Kuala Kedah.FOTO RAHMAT OTHMAN
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Serangan ulat bulu hitam yang berlaku di Kampung Tepi Laut Mukim Tebengau, Kuala Kedah pada 27 November lalu, didorong faktor iaitu kekurangan sumber makanan dan cuaca.

Jabatan Pertanian dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesyaki berlaku kekurangan sumber makanan ulat bulu hitam seperti pokok jati dan pokok api-api yang terdapat berhampiran kampung itu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ulat berkenaan terpaksa mencari sumber makanan daripada tanaman lain.

"Selain itu, terdapat laporan menunjukkan serangan yang merebak ke kawasan bakau berlaku ketika peralihan antara musim kering dan hujan.

"Keadaan ini juga mempengaruhi populasi musuh semulajadi yang dapat mengawal serangga perosak ini secara semulajadi,"katanya.

Menurutnya, Jabatan Pertanian menerusi Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT) sudah menjalankan siasatan pada 29 November lalu, dan menjalankan langkah kawalan segera bagi menghalang serangan itu merebak lebih serius ke kawasan lain.

"Serangan ulat bulu hitam itu boleh berulang lagi pada masa depan justeru, pihak berkuasa tempatan seharusnya bersedia untuk menghadapi kejadian itu.

"Ini kerana keadaan persekitaran dan peralihan musim boleh menyebabkan kejadian sama berulang lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 8:12 PM