Ahmad Salim Bachok

Daripada kira-kira 30.75 juta penduduk Malaysia, 68.6 peratus atau sekitar 21 juta daripadanya adalah penguna Internet. Daripada jumlah ini, kira-kira 17 juta adalah pengguna telefon pintar dan tentunya mempunyai akses dan menggunakan Internet.

Jumlah pengguna telefon pintar di kalangan penduduk di negara ini dijangka akan terus meningkat pada tahun-tahun yang akan datang kesan penurunan harga data yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi. Beberapa syarikat telekomunikasi kini sedang rancak membuat perang harga menawarkan pakej data Internet yang lebih besar, laju dan murah.

Keadaan ini tentunya akan menguntungkan pengguna, terutama golongan muda yang menjadi pengguna utama data Internet di negara ini. Bagaimanapun pengguna Internet bukan saja dimonopoli oleh golongan muda atau remaja, tetapi pengguna berusia kini dilihat turut tidak mahu ketinggalan menjadi pemain penting dalam industri digital di negara ini.

Dengan lambakan pelbagai jenama telefon pintar dan tablet yang semakin murah, canggih dan amat mesra pengguna, disambut pula dengan harga data Internet yang semakin murah, maka tidak hairanlah penembusan dan penggunaan Internet di negara ini akan terus meningkat dengan cepatnya.

Tetapi apakah masyarakat kita sudah meraih sepenuhnya faedah daripada penggunaan teknologi alaf baru ini? Bagaimanakah kebanyakan kita memanfaatkan kelebihan yang ada pada telefon pintar untuk faedah dan peningkatan taraf hidup kita?

Berdasarkan pemerhatian, saya mendapati sebahagian besar kita hanya menggunakan telefon pintar mereka untuk saling berinteraksi sesama kenalan melalui aplikasi media sosial terutamanya Facebook dan WhatsApp. Lihatlah di mana-mana, kebanyakan kita hanya leka menghabiskan masa membuka Facebook dan berbalas-balas WhatsApp.

Malah ada sesetengah pihak menganggap bahawa keasyikan dan ketagihan terhadap dua aplikasi media sosial ini sudah sampai ke tahap kritikal sekarang. Akibat terlalu obses dan leka melayari Facebook dan WhatsApp, semakin ramai pekerja yang dikatakan terjejas tumpuan, manakala produktiviti mereka turut menurun.

Walaupun belum ada kajian khusus terhadap ancaman gejala ini, tetapi bibit-bibit kerosakannya sudah mulai berputik dan tumbuh di sana sini.

Sebagai benda baru, sesungguhnya Facebook dan WhatsApp ini memang amat mengasyikkan. Kita boleh berhubung dan berinteraksi dengan sesiapa sahaja walau di mana pun mereka berada di muka bumi ini, asalkan mempunyai akses Internet.

Interaksi pula tidak terhad untuk hanya berdua atau bertiga, tetapi boleh berhubung terus secara langsung untuk sesama kumpulan berpuluh malah beratus individu sekali gus. Lebih hebat lagi, interaksi bukan hanya menggunakan teks, tetapi boleh disertakan sekali audio dan video secara masa sebenar (real time).

Itulah kehebatan teknologi digital yang kini semakin menguasai minda umat manusia di seluruh pelosok dunia. Tetapi apakah hanya Facebook dan WhatsApp saja yang ditawarkan oleh telefon pintar ini?

Sebenarnya begitu banyak kelebihan lain yang boleh diperolehi melalui telefon pintar ini. Selain boleh digunakan sebagai enjin carian maklumat yang paling mudah dan ampuh, gajet pintar ini, jika kita tahu dan mahir menggunakannya, adalah alat yang paling mudah untuk menjana kekayaan buat penggunanya.

Sesungguhnya telefon pintar adalah alat paling mudah, murah dan amat berkesan untuk sesiapa saja membuat perniagaan dalam talian. Dengan pelbagai aplikasi perniagaan yang ditawarkan, kini urusan perniagaan menjadi begitu mudah dan selamat. Dengan Internet, walau di mana pun kita berada, sesiapa pun boleh berniaga apa saja.

Kini, pasaran produk yang dijual secara dalam talian tidak lagi dibatasi oleh sempadan sesebuah negara, tetapi terbuka secara global. Dalam kata lain, kini seorang penjaja kecil di Pontian yang menjual madu kelulut, majun atau tempe goreng boleh mempromosi dan menjual produk khas dan istimewa mereka itu kepada pelanggannya yang mungkin bermastautin di Ulan Bator, Mongolia atau di Antananarivo, Madagascar dengan mudah.

Pemasaran, pengiklanan, penjualan, pembayaran dan penghantaran produk boleh dibuat dengan mudah melalui perantara telefon pintar. Malangnya pengguna telefon pintar di negara kita nampaknya masih belum sedar akan potensi hebat telefon pintar mereka ini.

Kebanyakan mereka lebih suka dan leka membuang masa berbalah serta berdebat mengenai perkara-perkara yang tidak berfaedah di Facebook dan WhatsApp sepanjang hari. Sedangkan orang lain yang lebih pintar menggunakan telefon pintar mereka untuk menjana pendapatan dan meningkat taraf ekonomi mereka.

Maka kita yang kurang pintar akan menjadi hamba kepada telefon pintar, tetapi mereka yang lebih pintar akan menjadi tuan kepada telefon pintar.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 10:25 AM