X
UNIT K9 Jabatan Bomba dari Putrajaya digunakan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat. FOTO Safuri Kamarudin
UNIT K9 Jabatan Bomba dari Putrajaya digunakan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Operasi pencarian Muhammad Saiful Aiman Kilinam, 16, yang dihanyutkan arus di Sungai Kuala Merah, Kuala Ketil, kelmarin, terus dipergiat dan diperluaskan sehingga jarak empat kilometer di sungai itu.

Memasuki hari ketiga operasi, lebih 60 anggota penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, polis, penduduk kampung dan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dari Putrajaya bersama-sama melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Mohd Hafiz Suhaimi berkata, operasi SAR diperluaskan sejauh empat kilometer dengan menggunakan bot kayak di kawasan berbatu dan dipenuhi kayu.

Menurutnya, operasi mencari agak sukar kerana kedudukan geografi sungai itu yang berbatu dan banyak tunggul kayu lama selain airnya keruh akibat hujan.

"Operasi mencari terus diperluas menggunakan kayak dan bot serta unit anjing pengesan yang mampu mengesan bau mayat di permukaan air.

"Kita terus berusaha menggunakan pelbagai kaedah dan pengalaman untuk mencari mangsa yang lemas sehingga di dasar sungai sedalam enam meter," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Hafiz berkata, usaha terakhir menggunakan Unit K9 sebagai kaedah mencari mangsa di dalam sungai diyakini mampu membantu operasi itu.

"InsyaAllah mangsa akan ditemui kerana usaha mencari membabitkan semua pihak dan turut menggunakan khidmat guru agama dan membuat solat hajat supaya usaha mencari dipermudahkan," katanya.

Sehingga 12.30 tengah hari tadi, operasi berhenti seketika untuk solat Jumaat dan akan bersambung petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 12:41 PM
Digital NSTP Subscribe