Azri bersama bapanya di hospital. FOTO AA
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Bapa kepada penyanyi dan bekas peserta Akademi Fantasia 9 (AF9) Azri Abdullah meninggal dunia akibat sesak nafas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang jam 6 pagi tadi.

Azri, 29, ketika dihubungi berkata, bapanya Abdullah Mohamad, 69, yang sebelum ini menghidap Alzheimer mula mengalami batuk teruk sejak dua minggu lalu.

“Selepas melihat arwah mengalami batuk berterusan, kami sekeluarga membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan paru-parunya juga terkena jangkitan," katanya.

Menurutnya, selepas seminggu keadaan bapanya semakin pulih, namun kembali teruk selepas dua hari pulang ke rumah.

"Dua hari selepas dia dibawa pulang ke rumah, keadaannya semakin teruk dan dia tak boleh menelan sebarang makanan. Jika diberi susu pun, dia akan muntahkannya semula.

"Selepas itu, dia mula sesak nafas dan dikejarkan semula ke hospital. Dia kemudian diberikan alat bantuan pernafasan sebelum keadaannya semakin kritikal,” katanya.

Jenazah Abdullah dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 3:28 PM