Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Hasan Abdul Rahman menyampaikan anugerah kepada pemenang. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Nor Shafinaz Sari


Jasin: Kumpulan Media Prima Berhad merangkul lima anugerah pada Majlis Makan Malam Penghargaan Media dan Kutipan Tabung Amal 'Demimu Rohingya' anjuran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai di RTC Sungai Rambai, malam ini.

Bagi media elektronik, Juruvideo TV3 Baharudin Mohamed menerima Anugerah Kategori Laporan Pelancongan Terbaik, manakala juruvideo sambilan TV3 Mohd Zaidi Yaakob menerima Anugerah Kategori Laporan Jenayah terbaik.

Jurufoto New Straits Times Press (NSTP) Muhammad Rasul Azli Samad, menerima anugerah Kategori Jurufoto Lelaki Terbaik, manakala Khairunisah Lokman menerima Anugerah Kategori Jurufoto Wanita Terbaik.

Wartawan sambilan Berita Harian, Amir Mamat, dianugerah sebagai Wartawan Harapan Negeri Melaka 2016.

Semua penerima anugerah membawa pulang trofi dan wang tunai bagi menghargai peranan media dalam membantu menaikkan nama kerajaan negeri.

Majlis yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Hasan Abdul Rahman itu dianjurkan khas untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada pihak media di negeri ini yang membantu kerajaan negeri khasnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai dalam melaporkan berita dan isu semasa.

Pada majlis sama Hasan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri turut menyerahkan kutipan derma Tabung Demimu Rohingya kepada wartawan TV3 Yusri Sahat mewakili Kumpulan Media Prima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 12:29 AM