FRIEDMAN (kiri) dan Trump. - Agensi

Washington: Bakal presiden baru Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan, dia akan mencalonkan peguam, David Friedman selaku duta negara itu ke Israel, orang yang menyokong pembinaan penempatan Yahudi di bumi Palestin dan pemindahan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Mengulas mengenai hasrat Trump itu, Friedman berkata, dia bersedia melaksanakan tugasnya dari ‘kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis’ walaupun pejabat kedutaan terletak di Tel Aviv.

Seperti sebahagian presiden sebelumnya, Trump berikrar untuk memindahkan kedutaan Amerika ke Baitulmaqdis, tindakan yang pasti mencetuskan kemarahan rakyat Palestin yang mahukan timur bandar raya itu menjadi sebahagian daripada negara merdeka mereka.

Ketika mengumumkan rancangannya itu, Trump berkata, Friedman akan mengekalkan ‘hubungan istimewa’ Amerika dan Israel.

Israel menawan timur Baitulmaqdis dalam Perang 1967 dan menjadikannya wilayahnya, langkah yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:10 AM