PEMANDANGAN kampung nelayan Jung Pyong Ri.
PEMANDANGAN kampung nelayan Jung Pyong Ri.
KEADAAN rumah penduduk yang uzur dan kusam.
KEADAAN rumah penduduk yang uzur dan kusam.

Korea Utara antara negara paling misteri di dunia dan hanya pelancong bertuah dapat berkunjung ke negara itu yang mengamalkan dasar tertutup.

Seorang pengembara dan jurugambar, Eric Lafforgue antara individu bertuah yang dibenarkan melawat Korea Utara sebanyak lima kali.

Lafforgue, 52, kali pertama melancong ke negara komunis itu pada 2008 dan pada kali terakhir dia melawat sebuah kampung nelayan terpencil, Jung Pyong Ri di wilayah Hamgyong Utara.

Lelaki itu yang kini diharamkan kembali ke Korea Utara memberitahu, kampung itu mempunyai pantai dengan pasir memutih yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

Katanya, untuk sampai ke kampung itu, dia perlu menaiki bas selama berjam-jam melalui jalan yang tidak berturap dan berlubang-lubang.

“Sampai di kampung itu saya dan pemandu pelancong tinggal di sebuah rumah tumpangan yang dibina daripada kayu.

“Saya tidur di dalam bilik berdekatan dengan peti sejuk yang mempunyai ikan busuk di dalamnya sehingga menyebabkan baju saya berbau.

“Rumah itu mempunyai sistem pemanas daripada sumber kayu api yang disalurkan di lantai kayu. Sistem ini sukar dikawal suhunya menjadikan bilik saya seperti ketuhar,” jelasnya.

Bekalan elektrik di kampung ini ditutup pada jam 9 malam tetapi penduduk biasanya menghiburkan diri dengan menyanyi dengan diterangi cahaya lilin.

“Sebelum tidur mereka bersama-sama menyanyikan lagu kebangsaan Korea Utara,” katanya.

Menurutnya, majoriti penduduk di kampung itu dihimpit kemiskinan dan mereka banyak bergantung hidup kepada hasil laut.

“Kebanyakan rumah dan bangunan di kampung ini kelihatan suram, usang dan ada sebahagian atapnya hampir runtuh.

“Hanya gambar mural besar bekas pemerintah Korea Utara, Kim Il Sung di sebuah bangunan yang berwarna di kampung ini,” ujarnya.

Pemandu pelancong Lafforgue memberitahu, tidak ramai pelancong boleh mengembara ke Korea Utara sejauh itu.

Biasanya, hanya pelancong dari negara komunis seperti China yang sering melawat Korea Utara.

“Mungkin saya orang Eropah pertama yang berjaya sampai sejauh ini,” jelasnya.

Kata Lafforgue, penduduk di Korea Utara sebenarnya sangat peramah dan sangat gembira apabila ada pelancong yang datang ke kampung mereka.

“Penduduk di sini menggesa saya kembali ke kampung ini dan saya berjanji, tetapi saya tahu janji itu tidak dapat ditepati.

“Sejak mengucapkan selamat tinggal yang terakhir, saya diharamkan daripada kembali ke Korea Utara,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:01 AM