SHUKRI pendam perasaan ketika uji bakat kerana dikendali idola pujaannya.
Rudy Imran Shamsudin

Serba boleh dan sentiasa mempersembah lakonan memberangsangkan hingga membuat penonton terpukau dua elemen yang ada pada Datuk Rosyam Nor yang sangat dipuja pelakon popular, Shukri Yahaya.

Shukri tambah kagum dengan kehebatan Rosyam menangani kerjaya seni sehingga masih menjadi pilihan penerbit filem mahupun drama untuk memegang peranan utama. Ia seharusnya menjadi contoh.

Gelaran ‘hero Malaya’ diberikan kepada Rosyam, pada pandangan Shukri, bertepatan sekali sekiranya dinilai daripada pencapaian pelakon berpengalaman itu sepanjang lebih tiga dekad menghambakan diri pada dunia seni tempatan.

Rosyam juga, kata Shukri, memperkembangkan kerjayanya sebagai penerbit drama melalui produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd dengan menghasilkan produk berkualiti selain jadi pengacara.

Bagi Shukri, pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Suami, Isteri dan ... juga tidak lokek ilmu. Dengan pengalaman luas dimiliki juga sesuailah Rosyam kini juga bergelar pakar motivasi.

“Satu kelebihan saya nampak pada Rosyam dia pandai menaikkan semangat orang dan sebab itu dia sesuai jadi pakar motivasi.

“Saya sendiri pernah mendengar dan merasainya. Saya benar-benar terhutang budi atas tunjuk ajar dan kata-kata semangat diberikan sebelum ini,” katanya.

Kata Shukri, dia berkesempatan bekerja dengan pelakon pujaannya sewaktu sama-sama membintangi drama Mawar Putih Tanda Perpisahan.

“Waktu itu penggambaran dijalankan di Kuala Terengganu, dan kami menetap bersama di inap desa. Saya hanya memegang watak pembantu dan Rosyam menjadi hero drama itu.

“Saya terharu kerana Rosyam melayani saya dengan baik. Saya menggunakan peluang bekerja sama-sama itu untuk mendekatinya.

“Rosyam tetap ramah cuma apabila bekerja, sangat serius dan kalau ada kesalahan yang dilakukan, dia akan tegur terus. Pada saya, itu adalah perkara bagus kerana saya dapat belajar secara amali,” katanya.

Pembelajaran tidak sahaja berlangsung di lokasi apabila tamat penggambaran dan waktu ada masa terluang, Rosyam tetap memberikan tunjuk ajar dan kata-kata nasihat.

“Bayangkan saya mendapat didikan secara tidak formal secara percuma daripada pelakon hebat dan idola saya. Sehingga kini segala nasihat dan tunjuk ajar Rosyam saya gunakan dalam mengejar cita-cita menjadi anak seni yang disegani,” katanya.

Shukri yang kini popular dengan drama 7 Hari Mencintaiku meneusi slot Akasia menerusi TV3, mula ‘mengenali’ Rosyam Nor sewaktu remaja lagi. Ketika itu keluarga membawanya menonton filem Suami, Isteri dan ... dan sejak itu, dia mula mengenali dan mengagumi lakonan Rosyam.

“Saya mula kenal Rosyam sebagai pelakon ketika menonton filem Suami, Isteri dan ... Minat terhadap lakonannya mula berbunga apabila saya menonton dia berlakon Lenjan, Castello dan seterusnya beberapa filem aksi. Begitu juga dengan filem Laila Isabella yang menunjukkan sisi lakonan berbeza daripada Rosyam,” katanya.

Peluang membintangi drama Mawar Putih Tanda Perpisahan bukan pertemuan pertama Shukri dengan Rosyam. Sebelum itu dia pernah bertentang mata kali pertama dengan aktor pujaannya di pejabat Rosyam, Suhan Movies & Trading.

“Waktu itu saya baru bergiat dalam dunia lakonan dan kebetulan Penerbit Eksekutif Suhan Movies menghubungi saya hadiri uji bakat untuk satu projek mereka. Begitupun, Penerbit Eksekutif Suhan Movies itu tidak memberitahu saya yang Rosyam sendiri yang akan menilai bakat saya.

“Sebaik sahaja masuk dalam bilik, saya lihat Rosyam di depan mata tetapi memikirkan waktu itu saya mahu bekerja, perasaan gembira itu saya cuba sorok. Dalam hati, Tuhan saja yang tahu betapa berbunganya hati dapat jumpa dengan aktor pujaan hati.

“Saya sendiri tidak menyangka sekarang saya tidak sahaja dapat berjumpa dengan aktor pujaan saya, malah berpeluang bekerja sekali dengannya,” katanya.

Pelakon memiliki wajah iras bintang Filipina, Jericho Rosales itu memulakan kerjaya dalam industri lakonan pada 2011 selepas bakatnya dicungkil pengarah Osman Ali menerusi filem Jiwa Taiko dan mula dikenali selepas membintangi drama Asam Pedas Untuk Dia, Dia Isteri Luar Biasa serta Cik Cinderella & Encik Tengku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:05 AM