Roslan pada sidang media hari ini. FOTO Sairien Nafis
Nor 'Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur : Syarikat pengendali air perlu menaik taraf janakuasa kedua mereka bagi menggelakkan gangguan bekalan air seperti yang akan berlaku esok berikutan kerja penyelenggaraan henti tugas Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong.

Syarikat terbabit ialah Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd ( Air Selangor).

Ketua Pegawai Korporatnya Datuk Roslan Ab Rahman berkata, ini kerana sistem janakuasa sokongan sedia ada tidak dapat dapat menampung bekalan elektrik untuk operasi harian ketika kerja penyelenggaraan itu dilakukan.

"Kita akan memberi cadangan ini kepada SYABAS dan Air Selangor kerana mereka adalah pemilik aset itu (janakuasa kedua).

"TNB akan berperanan sebagai pemudah cara dan membekalkan kepakaran dalam menaik taraf janakuasa kedua atau sokongan di Loji Rawatan Air (LRA),"katanya dalam sidang medianya hari ini.

Kerja penyelenggaraan henti tugas PMU Bukit Badong dilakukan esok dijangka mengambil masa selama 16 jam selepas ditangguhkan pada 27 September lalu.

Terdahulu, SYABAS menjelaskan gangguan bekalan air di sebahagian besar kawasan Lembah Klang akan berlarutan selama enam hari, iaitu mulai esok hingga Sabtu ini.

Beliau berkata, kerja- kerja penyelenggaraan itu dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka dapat dibuat dengan selamat di PMU di Kuala Selangor.

"Kerja ini akan dilakukan lagi tiga tahun akan datang, namun akan berbincang dengan SYABAS dan Air Selangor supaya masalah yang sama tidak berulang.

"Ini bagi memastikan pengguna tidak terjejas setiap kerja-kerja penyelenggaraan henti tugas PMU dilakukan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 8:58 PM