Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beramah mesra dengan orang ramai ketika melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Jalan Pintas Lahad Datu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepagaya, di sini, hari ini. FOTO Malai Rosmah Tuah
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beramah mesra dengan orang ramai ketika melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Jalan Pintas Lahad Datu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepagaya, di sini, hari ini. FOTO Malai Rosmah Tuah
Syah Rul Aswari Abdullah dan Ainul Durmahyanty Durming

Lahad Datu: Kerajaan akan menggunakan apa saja cara untuk menjamin keselamatan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ia termasuk perubahan taktikal pasukan keselamatan yang menyaksikan tiga pengganas ditembak mati di perairan Sabah, baru-baru ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus menambah aset pasukan keselamatan di Pantai Timur Sabah dari masa ke semasa.

"Kita harap ia (kejadian tiga ahli kumpulan bersenjata ditembak mati), amaran yang jelas bahawa kita akan guna apa juga cara untuk menjamin keselamatan (negara)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Jalan Pintas Lahad Datu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepagaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 

Jajaran itu akan bermula dari Batu 7, Jalan Silam dan berakhir di Batu 3, Jalan Segama, di sini, dengan kos pembinaan RM165 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 1:04 PM