HALBA banyak digunakan dalam masakan.
HALBA banyak digunakan dalam masakan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Halba mungkin asing bagi sesetengah orang sedangkan ia biasa digunakan sebagai rempah dalam pelbagai masakan terutama yang berasal dari Timur Tengah.

Selain ditambah dalam masakan untuk menambah keenakan hidangan, tidak ramai yang tahu manfaat halba dari sudut kesihatan. Tanaman ini tumbuh subur dan luas di India, Mesir dan negara Timur Tengah.

Fenugreek atau halba yang berbentuk butiran kecil berwarna coklat banyak digunakan dalam bahan menu berempah.

Selain negara Timur Tengah, negara seperti India, Pakistan dan Sri Lanka sering menggunakan halba dalam rempah masakan mereka seperti kari dan gulai. Jika di Malaysia, makanan berasal dari Terengganu iaitu nasi dagang turut menjadikan halba antara bahan dalam hidangan itu.

Cara menggunakan halba pada masakan iaitu dengan menambah halba yang sudah disangai dan dimasukkan ke dalam masakan. Halba yang sudah disangai atau digoreng tanpa minyak memberikan aroma yang enak.

Selain masakan, penggunaan biji halba termasuk dalam ramuan jamu di Indonesia. Selain jamu yang diminum, ada juga menjadikan halba salah satu bahan untuk berendam.

Biji ini turut digunakan dalam terapi Ayurveda dari India, yang dipercayai dapat memberi kesan penurunan kadar kolesterol darah pada haiwan yang diuji.

Manakala penggunaannya dalam sistem perubatan tradisional India, China dan Arab yang luas adalah sebagai penawar diabetes serta hiperkolesterol.

Khasiat lain halba dipercayai dapat mengatasi gangguan saluran pencernaan seperti kembung, batuk, bronchitis, sakit tekak, panas badan yang meningkat dan ulser pada rongga mulut.

Orang India juga mencampurkan biji halba dan yogurt yang digunakan sebagai perapi rambut.

Halba mengandungi karbohidrat sehingga 60 peratus, protein dan minyak lemak, pati minyak, flavonoid, saponin serta kumarin. Terdapat hasil penelitian yang menunjukkan khasiat menurunkan kadar gula darah ditunjukkan daripada proses kompaun alkaloid tri-gonelline dan kumarin.

Khasiat halba untuk melancarkan pengeluaran air susu ibu amat menarik untuk dikaji. Sejak 1945, seorang pengkaji Mesir melaporkan hasil kajian yang membuktikan halba berkhasiat sebagai perangsang kuat bagi pengeluaran air susu ibu.

Hingga kini belum diketahui mekanisme prosesnya, oleh itu penggunaan halba untuk tujuan memperbanyakkan susu ibu digalakkan malah sebagai petua tradisional. Lagipun, halba selamat untuk bayi yang sedang menyusu.

Mungkin kesan sampingan yang mungkin terjadi ialah cirit-birit, namun jika berlaku, disarankan ibu menyusu mengurangkan dos penggunaannya.

Antara manfaat lain halba termasuk antikanser. Kanser masih menjadi pembunuh manusia nombor dua di seluruh dunia. Oleh itu selain rawatan moden, amalan tradisional untuk meningkatkan kesihatan juga boleh dipertimbangkan.

Di pasaran, kita boleh membeli biji halba kering, namun kerana rasa dan baunya yang mungkin kurang disukai, biji halba dapat dikisar menjadi serbuk dan dimasukkan ke dalam kapsul.

Halba juga dapat diminum sebagai teh dengan cara merebusnya dan air rebusannya boleh dijadikan minuman. Orang Mesir gemar minum teh halba terutama pada musim sejuk. Untuk permulaan disarankan untuk menggunakan halba dalam dos minimum dan dipertingkatkan sedikit demi sedikit.

Halba juga ramuan tradisional meningkatkan nafsu lelaki dan wanita. Menjadi amalan kuno tabib Cina untuk rawatan mati pucuk dan ia antara ubatan yang tertua di dunia serta digunakan oleh Hippocrates iaitu bapa perubatan Yunani.

Selain itu, teh halba juga dikatakan dapat mengurangkan ketagihan rokok dan dadah malah baik untuk mengurangkan penyakit anemia. Caranya adalah dengan merebus biji halba dan air rebusannya ditambah madu yang diminum sebagai minuman teh.

Banyak khasiat lain halba yang diamalkan nenek moyang kita dulu untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan. Antara khasiat halba dipercayai dapat melancarkan haid, melegakan sakit kepala atau migrain, membuang angin, buasir, senggugut, merangsang rahim, mengurangkan berat badan, mengawal kencing manis serta mengurangkan radang kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 1:28 PM
Digital NSTP Subscribe