Melaka: Bekas penyerang Pahang, Fauzi Roslan (gambar) mengakui selesa bersama Melaka United (MU) sambil berazam membantu pasukan itu meraih salah satu piala pada saingan Liga Malaysia 2017.

Selepas menikmati kejayaan manis bersama skuad Tok Gajah termasuk menjulang Piala Malaysia 2013 dan 2014, Piala FA 2014 dan Piala Sumbangsih 2013 serta Piala Emas Raja-Raja 2016, pemain itu jelas bertekad membantu majikan baharunya meraih kejayaan gemilang.

Baginya, bukan mudah untuk melakar kejayaan terutama kerana skuad itu dibarisi ramai pemain baharu namun dengan barisan pemain yang ada dia tetap yakin skuad itu mampu meraih catatan membanggakan.

Walaupun masih baharu menjalani latihan bersama ketua jurulatih Eric Williams namun dia melihat strategi yang disusun amat menarik dan mampu menerbit perubahan besar kepada skuad Hijau Putih kali ini.

“Aksi bersama MU pada perlawanan persahabatan berdepan FELCRA FC Sabtu lalu memperlihatkan kesungguhan kami untuk melonjakkan pasukan. Bagi saya MU memiliki kekuatan yang seimbang dengan semua skuad Liga Super 2017. Malah dengan kehadiran kapten kebangsaan Amri Yahyah pastinya bakal menambah bisa pasukan.

“Pada saya, tidak kira siapa yang akan digandingkan di barisan serangan dan tengah. Apa yang penting semua mampu menjalankan tanggungjawab demi kejayaan pasukan,” ujarnya.

Melaka memiliki barisan penggempur berwibawa termasuk Sergio Aguero (Argentina), Ilija Spasojevic (Montenegro), Amri, Fauzi dan Nurshamil Ghani juga diperkuat dengan kehadiran R Surendran.

Fauzi menyatakan kesediaan beraksi di mana-mana posisi yang akan disusun Williams malah dia yang biasa bergandingan bersama Surendran ketika bersama Pahang sebelum ini juga melihat MU memiliki barisan pertahanan dan tengah yang mampu menyerap asakan lawan serta melakukan serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 8:26 AM