PENANG Panthers gembira bersama pingat yang dimenangi.
PENANG Panthers gembira bersama pingat yang dimenangi.

Kuala Lumpur: Banyak menelaah dan merujuk kaedah latihan dan corak permainan pasukan luar negara seperti Thailand dan Korea Selatan menjadi sebahagian ramuan utama kejayaan jurulatih Helmi Ismail mengemudi Penang Panthers menjuarai Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016, kelmarin.

“Kajian itu digunakan untuk mencari kelemahan lawan dan meningkatkan kemajuan pasukan saya. Orang lama (sepak takraw) Malaysia juga menjadi sumber rujukan dan input saya. Saya buat (mengkaji) apa yang orang lain kurang mahu lakukan.

“Kebanyakannya hasil pemerhatian dan pengalaman saya sendiri apabila pergi ke negara-negara itu. Selainnya, pengalaman sebagai bekas apit kanan negara turut sangat membantu tugas saya,” katanya yang pernah membantu Malaysia meraih pingat perak berpasukan Sukan Asia Guangzhou 2010.

Bekas pelibas negara berusia 33 tahun ini turut dianggap mempunyai sentuhan magis selepas turut menerajui Pulau Pinang mengakhiri penantian 54 tahun untuk menjulang Piala Emas Khir Johari pada Kejohanan Kebangsaan dengan menewaskan Selangor 2-0 di Putrajaya, Februari lalu.

Panthers (tekong Syahir Rosdi, perejam Azlan Alias dan pengumpan Zaim Razali) turut mengaut ganjaran RM40,000 selaku juara STL edisi ketiga di Stadium MPSJ, Serdang Jaya selepas menumpaskan Kuala Lumpur Thunder 21-15, 21-10 pada perlawanan akhir Divisyen Perdana.

Hanya 50 minit diperlukan di depan hampir 4,000 penonton untuk menghampakan regu kendalian Azhar Sarabini (Farid Aziz/Ahmad Aizat Nor Azmi, Hafiz Rahman/Zamree Dahan dan Amirul Zazwan Amir) manakala Syahir memperoleh bonus RM2,500 apabila dinobat Pemain Paling Bernilai (MVP) perlawanan itu dan Tekong Terbaik.

“Kami menyambar setiap peluang yang datang dan mengurangkan kesilapan manakala tekong (Syahir) pula menghasilkan servis yang baik dan mendapat mata yang sepatutnya,” kata Helmi.

Jurulatih Thunder Azhar berkata: “Prestasi lawan memang bagus tapi kebanyakan pemain saya pula ada yang tidak menjadi dan hambar walaupun saya sudah buat dua pertukaran tekong dan apit kanan. Mungkin sebagai pasukan bukan pilihan apabila masuk final sahaja pun sudah memadai bagi mereka.

“Permainan kami longgar, mereka seperti sudah memuncak terlalu awal pada separuh akhir (menewaskan Terengganu Turtles 21-14, 21-14, Sabtu lalu). Lontaran bola Azlan (apit kanan Panthers) kepada tekong memang cantik dan servis Panjang (Syahir) pula menepati sasaran. Rejaman Azlan juga bersih,” kata guru Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Amirul yang meraih anugerah Pengumpan Terbaik dengan meraih RM1,000 berkata: “permainan saya kurang memuaskan dan memberangsangkan, berbeza ketika menentang Turtles. Mungkin sebab sudah mengerah semuanya pada separuh akhir. Saya hanya menjalankan tugas pemain, itu strategi jurulatih untuk menukar tekong atau pelibas.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 8:34 AM