DUTERTE
DUTERTE
Agensi

Manila: Pemimpin Katolik dan kumpulan hak asasi manusia semalam mengecam rancangan Presiden Rodrigo Duterte untuk menguatkuasakan semula hukuman mati dan menjalankan hukuman itu ke atas lima atau enam penjenayah sehari.

Mereka menyifatkan rancangan itu sebagai kejam.

Duterte, 71, menjadikan usaha menguatkuasakan semula hukuman mati sebagai keutamaan kerajaannya dan menjadi sebahagian daripada perangnya terhadap jenayah yang setakat ini sudah menyebabkan 5,300 orang terbunuh.

“Dulu ada hukuman mati tetapi tidak ada apa yang berlaku. Serahkan kepada saya dan saya akan melakukannya setiap hari - lima atau enam penjenayah sehari,” kata Duterte.

Pegawai Majlis Persidangan Paderi Katolik yang berpengaruh di Filipina berkata, pihaknya menentang sama sekali rancangan Duterte.

“Filipina akan dilihat sebagai amat kejam. Ia akan menjadikan Filipina ibu negara hukuman mati di dunia,” kata Paderi Jerome Secillano, setiausaha eksekutif majlis berkenaan.

Filipina menghapuskan hukuman mati pada 2006 selepas tentangan hebat daripada pihak Gereja Katolik, agama yang dianuti 80 peratus penduduk negara itu.

Sebelum menjadi presiden Jun lalu, Duterte berikrar memperkenalkan semula hukuman gantung dengan berkata, dia tidak mahu membazir peluru dan percaya tindakan menggantung penjenayah lebih berperikemanusiaan berbanding menembak mereka.

Sekutunya di Parlimen segera mengemukakan rang undang-undang mengenainya dan berkata mereka akan mengundi Januari depan.

Sabtu lalu, Duterte berkata, hukuman mati amat perlu untuk memerangi dadah bagi mengelak Filipina musnah.

Naib Pengerusi Amnesty International Filipina, Romeo Cabarde berkata, Duterte sudah melampau apabila menetapkan kuota untuk hukuman itu setiap hari.

Secillano berkata, paderi merancang melancarkan kempen untuk mempengaruhi anggota Parlimen menolak hukuman mati. Mereka juga akan menghadiri perbahasan Kongres mengenai hal itu bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 8:44 AM