PERSEMBAHAN mantap Siti dan Faizal.
PERSEMBAHAN memukau Akim & The Majistret.
PERSEMBAHAN pembukaan daripada Syamsul Yusof, Hazama, Daly Filsuf dan Rabbani.
Ridzuan Abdul Rahman dan Syanty Octavia Amry


Malam Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) menjadi milik Datuk Siti Nurhaliza apabila memenangi lima kategori dalam majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Siti yang tampil anggun malam itu bersama suaminya Datuk K memenangi kategori Album Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik (Mikraj Cinta), Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Menatap Dalam Mimpi, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Menatap Dalam Mimpi) dan Anugerah Penyanyi Pilihan Malaysia.

Apa yang menarik, kemenangan Siti dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita) malam kelmarin adalah kali ke-13 di AIM.

Turut cemerlang, Faizal Tahir yang memenangi kategori utama iaitu Lagu Terbaik menerusi lagu Sejati dan Lagu Pop Terbaik.

Anugerah Artis Baru Terbaik pula dimenangi Syamel,manakala Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Lelaki) dimenangi Akim Ahmad, Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu (De Fam), Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu (Misha Omar & Hafiz Suip), Kulit Album Terbaik (Sekumpulan Orang Gila), Rakaman Album Terbaik (Froya), Video Muzik Terbaik (Stacy, Not For Sale) dan Lagu Pop Etnik Terbaik (Joget Sulam Sakti, Reena Nicky).

Dalam pada itu Lagu Rock Terbaik dimenangi oleh Mata Hati nyanyian Azlan & The Typewriter, Lagu Hip Hop Terbaik (Janji, Altimet & Takahara Suiko) dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Firefly, SonaOne).

Anugerah Kembara diberikan kepada penyanyi Yuna manakala anugerah Seri Wirama diberikan kepada Datuk Sheila Majid.

Sementara itu, secara keseluruhan AIM22 dilihat sedikit mengecewakan apabila ada segelintir penonton termasuk artis dilihat pulang lebih awal.

Namun, kehadiran dua pengacaranya Harith Iskander dan Adibah Nor berjaya menggamatkan penonton dan tidak membosankan.

Walaupun Harith kerap menyebut negara Finland kononnya mahu menceritakan mengenai kemenangannya sebagai Funniest Person in the World, baru-baru ini dilihat sebagai bosan, tetapi ia sebenarnya tidak kerana disampaikan secara sinikal.

Apa yang pasti, Adibah adalah penyelamat pada malam itu!

Dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD bermula jam 9 malam, nyata pembukaan persembahan artis Syamsul Yusof, Hazama dan Rabbani menghiburkan suasana.

Persembahan daripada beberapa artis juga dilihat kurang menyengat namun persembahan Siti Nurhaliza dan Faizal menerusi lagu Dirgahayu nyata menaikkan semula semangat penonton dan kembali menghangatkan suasana.

Selain itu, Projektor Band dan Khalifah yang bergabung mempersembahkan lagu Sudah Ku Tahu, Assalamualaikum Ustazah dan Hang Pi Mana berjaya membuktikan kemampuan mereka bermain muzik secara ‘live’.

Sementara itu, wartawan yang ditempatkan di belakang pentas untuk menemu bual pemenang tidak disediakan skrin TV mengenai apa yang berlaku di pentas menyebabkan mereka sukar mendapat maklumat di dalam dewan.

Berkongsi kisah di balik tirai pula, suasana di tempat wartawan menemu bual pemenang juga ‘kosong’ tiada sebarang ‘backdrop’ dipasang.

Sebagai satu anugerah berprestij yang sudah lebih 20 tahun diadakan tidak sepatutnya berlaku masalah remeh seperti itu.

Selain itu, malam anugerah turut dimeriahkan dengan persembahan Daly Filsuf, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Sakura Band, Yuna, SonaOne, Ameng dan Akim & The Majistret.

Komen pemenang

Datuk Siti Nurhaliza

“Sejak awal lagi saya mendapati ada sesuatu dalam lagu Mikraj Cinta dari segi lirik dan melodinya. Alhamdulillah ia diiktiraf sebagai lagu nasyid terbaik dan saya mengharapkan dapat menghasilkan banyak lagi lagu nasyid selepas ini.

“Untuk vokal, Aubrey Suwito amat menjaga saya ketika dalam studio rakaman. Dia memahami dan tahu kemampuan sebenar saya.”

“Sebenarnya lagu Menatap Dalam Mimpi sangat mencabar kerana ia dicipta untuk arwah ayah saya. Bait liriknya sangat menyentuh hati. Saya kena tahan sebak dan terpaksa fikir perkara lain yang menggembirakan agar dapat menghabiskan nyanyian.”

Faizal Tahir (Lagu Terbaik)

“Terima kasih AIM kerana pilih lagu Sejati sebagai pemenang kategori ini. Ia kejayaan yang tak diduga.

“Semua yang tersenarai sangat baik dan ada impak dalam industri seni tanah air.

Yuna (Anugerah Kembara)

“Ini Anugerah Kembara kedua bagi saya dan terkejut juga apabila diberikan sekali lagi.

“Ini sebagai bukti pengiktifaran terhadap kerja keras saya dalam industri muzik. Ia sesuatu yang boleh saya kongsikan dengan penyanyi di negara kita.

“Saya tak nak asyik-asyik saya saja yang dapat anugerah ini. Kalau boleh biarlah artis lain juga mampu buat seperti yang saya lakukan.”

Syamel (Artis Baru Terbaik)

“Setiap benda yang terjadi ada hikmahnya dan saya pegang pada kata-kata ini. Alhamdulillah ini antara kejayaan manis yang saya dapat.

“Saya teruja kerana ini anugerah pertama yang saya dapat selepas keluar dari Akademi Fantasia.

“Selepas ini saya mengimpikan pula gelaran vokal terbaik dalam AIM sekiranya ada rezeki.”

De Fam (Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu)

“Ini anugerah yang dinilai sepenuhnya oleh juri dan kami amat menghargainya. Ia membawa maksud apa yang dicurahkan oleh kami menerusi lagu Super Girls berbaloi.

“Ramai yang mempertikaikan kemampuan vokal kami sebelum ini. Selepas ini kami akan bekerja keras untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan.”

Sonaone (Lagu Inggeris Tempatan Terbaik)

“Saya tak kisah siapa pun menang kerana tujuannya adalah untuk menyokong muzik Malaysia.

“Semua yang bertanding pada malam ini adalah pemenang. Bahkan dapat berganding dengan Yuna dalam persembahan pun satu pencapaian yang menggembirakan.”

Azlan The Typewriter (Lagu Rock Terbaik)

“Ini adalah untuk semua rocker tanah air. Saya berterima kasih kepada AIM yang mengiktiraf saya dalam industri muzik.

“Apabila dapat kemenangan ia adalah satu kepuasan yang sukar digambarkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 10:14 AM