PEMANDANGAN dari udara menunjukkan sebahagian bangunan, premis dan kediaman di Kampung Kuala Tahan ditenggelami air. FOTO Bernama
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan sebahagian bangunan, premis dan kediaman di Kampung Kuala Tahan ditenggelami air. FOTO Bernama
Syah Rul Aswari Abdullah dan Muhamaad Razis Ismail


Kuala Lumpur: Bah semakin parah apabila bilangan mangsa banjir di Pantai Timur, Perak dan Perlis yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 92,733 orang sehingga 11 pagi ini berbanding 66,029 orang petang semalam.

Di KELANTAN, 32,383 mangsa di tempatkan di 152 PPS pagi ini, berbanding 31,808 mangsa pada 12 tengah malam tadi.

Memori 2004 turut kembali diperkatakan apabila air sungai Kelantan mula ‘singgah’ di beberapa kawasan di bandar Kota Bharu, malam tadi.

Menurut portal eBanjir Kelantan, jajahan Gua Musang merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 7,385 mangsa yang ditempatkan di 18 PPS.

Sebanyak 37 jalan ditutup kepada semua kenderaan dan empat sungai di negeri ini berada pada paras bahaya.

Sementara itu, bulatan Tuan Padang (Bulatan Jam Besar), satu kilometer dari tebing sungai di Tambatan Diraja mula banjir dengan paras air 0.5 meter, tengah malam tadi.

Di TERENGGANU, mangsa banjir meningkat kepada 29,005 daripada 6,979 keluarga ditempatkan di PPS berbanding 27,736 orang (6,601 keluarga) tengah malam tadi.

Di PAHANG, meningkat hampir sekali ganda kepada 26,795 mangsa banjir di tempatkan di PPS dari lapan daerah berbanding 15,944 orang tengah malam tadi.

Di PERAK, 4,335 orang daripada 1,079 keluarga di tempatkan di PPS berbanding 2,755 orang daripada 627 keluarga tengah malam tadi.

Di PERLIS, mangsa banjir yang di tempatkan di PPS tidak berubah iaitu 255 orang daripada 75 keluarga berbanding 143 orang petang kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 12:51 PM
Digital NSTP Subscribe