Bot nelayan yang ditahan APMM di Kuala Kedah, pagi semalam. FOTO Ihsan APMM
Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Kedah: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan di kedudukan 5.5 batu nautika Barat Daya, di muara Kuala Kedah oleh bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pangkalan Maritim Kuala Kedah, pada jam 11.45 pagi semalam.

Pengarah Maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan, seorang tekong bersama dua awak-awak warga tempatan berada di atas bot itu.

Katanya, mereka yang berusia 44 hingga 55 tahun dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen kerana memukat ikan kurang dari lapan batu nautika dari pantai.

"Bot berkenaan ditahan bersama hasil tangkapan ikan anggaran seberat 30 kilogram dan dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau juga menasihati pengusaha pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang yang disyaratkan dalam lesen yang diberikan.

"Maritim Malaysia Pangkalan Maritim Kuala Kedah akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah yang melanggar undang undang ditetapkan," katanya.

Ahmad Kamal juga berharap kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Kuala Kedah di talian 04 7310579,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 12:51 PM