Oleh Maiamalina Mohamed Amin


Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menerima bantuan aset negeri luar untuk membantu melicinkan operasi menyelamat mangsa banjir yang kini mencecah 33,828 orang.

Pengarahnya Azmi Osman berkata, 30 bot menyelamat daripada JBPM negeri berhampiran tiba secara berperingkat dan sudah pun beroperasi, manakala 10 ke 15 unit lagi akan sampai petang ini.

"Tambahan bot ini daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai.

"Ia menjadikan keseluruhan aset bot yang kita miliki lebih 70 unit dan digerakkan ke lokasi terjejas teruk terutama di Kuala Krai, Kota Bharu dan Gua Musang.

"Bomba Kelantan juga memohon tambahan 30 ke 40 kakitangan menyelamat daripada akademi untuk membantu urusan menyelamat di sini.

"Kita lakukan sedaya upaya untuk menyelamatkan mangsa dan memindahkan mereka ke tempat selamat," katanya ketika dihubungi, tadi.

Selain bot, dua helikopter daripada ibu pejabat JBPM turut akan digunakan.

Dalam pada itu, Azmi menyelar tindakan pihak luar yang mempersoalkan kelewatan bantuan menyelamat kerana menurutnya sudah melakukan yang terbaik.

Beliau berkata, beberapa halangan terutama arus deras dan kedalaman air menyulitkan perjalanan anggota untuk tiba, namun mereka tetap berusaha.

"Kita buat yang terbaik untuk menyelamat malah bilik kecemasan bomba di sini terima panggilan bertalu-talu lebih daripada hospital tetapi anggota melayan dengan sabar kerana diterap dengan konsep mesra.

"Semua unit digerakkan dan lima bot digerak ke Kuala Krai sejak semalam lagi tapi terhalang dan sukar hampiri mangsa disebabkan arus deras.

"Kita masih mencuba lagi pagi ini dan anggota terdekat yang ke sana adalah dari Tanah Merah," katanya.

Katanya, semua pihak terutama mangsa banjir perlu bertenang, sabar dan bertahan sehingga bantuan tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 1:57 PM