DR Rozaini (kiri) menurunkan tandatangan pada replika tin minuman pada pelancaran produk baharu dan penyampaian Anugerah Usahawan ARBA.
Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: Classic Worldwide International Group Indonesia (CWIG) optimis sasaran pengeluaran sebanyak sembilan juta tin Kopi Pak Belalang mampu dicapai syarikat itu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas CWIG, Datuk Seri Dr Rozaini Hasan berkata, Kopi Pak Belalang bertin yang sedia untuk diminum itu mempunyai tiga perisa iaitu mocha, cappuccino dan latte.

“Minuman ini akan berada di pasaran bermula 3 Januari depan dan dijual di 1,000 rangkaian pengedar 1Thousand Exclusive Partner kami di seluruh negara dengan harga antara RM2 dan RM2.20 setin.

“Kami turut akan memperkenalkan dua lagi perisa iaitu Kopi Pak Belalang Ori dan Kopi Pak Belalang White Coffee,” katanya pada sidang media selepas melancarkan produk baharu itu dan penyampaian Anugerah Usahawan ARBA, di sini.

Produk baharu yang dilancarkan itu terlebih dulu akan dijual di pasaran tempatan sebelum dilancarkan di Indonesia pada Mac depan.

Menurutnya, pihaknya turut menyasarkan pasaran besar di Indonesia apabila Kopi Pak Belalang dilancarkan kelak dengan pengeluaran 10 juta tin sebulan.

“Pada waktu ini, produk kami sememangnya menerima sambutan menggalakkan terutama teh Musang Berjanggut dan Puspawangi.

“Kami berharap Kopi Pak Belalang bertin itu akan turut mendapat sambutan kerana ia kini menjadi produk utama CWIG,” katanya,

Rozaini berkata, pelancaran segmen minuman sedia diminum itu diharap mampu menyumbang kepada keuntungan syarikat.

“Jenama Kopi Pak Belalang sudah dikenali di negara ini dengan pelbagai promosi dan penajaan. Kita mendapati permintaan terhadap produk sedia diminum juga tinggi.

“Walaupun mengeluarkan segmen baharu itu, penjualan kopi dalam kotak yang perlu dibancuh masih tetap diteruskan bagi memenuhi permintaan di restoran dan kedai makan,” katanya.

CWIG kini mempunyai empat kilang di Indonesia manakala beberapa lagi di Malaysia termasuk merangkumi proses pembungkusan dan pengedaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 7:20 AM