PENDUDUK memakai topeng perlindungan ketika berjalan di jalan raya di Beijing, semalam.  - AP
PENDUDUK memakai topeng perlindungan ketika berjalan di jalan raya di Beijing, semalam. - AP
Reuters

Beijing: Beratus-ratus penerbangan dibatalkan sementara pengangkutan darat serta perjalanan kereta api hampir terhenti akibat jarak penglihatan yang terlalu rendah, kesan daripada jerebu tebal yang melanda timur laut China untuk hari kelima berturut-turut.

Lebih 20 bandar raya mengisytiharkan tahap berjaga-jaga sejak Jumaat lalu, melaksanakan langkah kecemasan bertujuan mengurangkan pencemaran udara dan melindungi kesihatan penduduk daripada atmosfera toksik.

Di seluruh China, kawasan pembinaan ditutup dan pihak berkuasa mengurangkan jumlah kenderaan yang dibenarkan di jalan raya dalam usaha mengurangkan jerebu.

Di Shijiazhuang, ibu negeri Hebei, wilayah di utara China, pesawat tidak boleh mendarat atau berlepas.

Paras PM.25 - zarah mikroskopik yang berbahaya kepada kesihatan manusia - meningkat kepada 844 di kawasan itu.

Ia 34 kali lebih tinggi daripada yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di Beijing, bangunan hilang dari penglihatan apabila debu kekuningan itu mengurangkan jarak penglihatan sehingga memaksa pihak berkuasa bandar raya itu menutup beberapa jalan utama kerana masalah keselamatan.

Sehingga tengah hari semalam, sebanyak 217 penerbangan dibatalkan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.

Kereta api juga terpaksa dipandu perlahan.

Kebanyakan jerebu di China dikatakan berpunca daripada pembakaran arang batu untuk tujuan bekalan elektrik.

Permintaan bekalan itu meningkat mendadak pada musim sejuk.

Di media sosial, pengguna menyuarakan kemarahan terhadap keadaan itu.

“Saya sangka Beijing diserang senjata nuklear pagi ini,” tulis seorang pengguna.

“Tekak saya perit. Kulit saya gatal. Kepala saya juga sakit.

“Penduduk Beijing boleh bertahan dan tidak membantah kerana sudah dijinakkan dengan baik oleh pihak berkuasa,” tulis seorang lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 11:31 AM