Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa menurunkan bekalan makanan di bukit berhampiran dari udara sebelum makanan itu dibawa kepada mangsa banjir yang terkandas di SMK Manek Urai Kuala Krai jam 2.30 petang tadi.

Pengarah Bomba Kelantan Azmi Osman berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian berikutan kawasan daratan yang terhad untuk mendaratkan helikopter jenis Agusta itu.

Katanya antara makanan yang diberikan termasuk kek, roti dan nasi bungkus.

"Kita membuat dua penerbangan di sana dan satu penerbangan di Machang untuk menghantar bekalan makanan itu.

"Dengan bantuan ini sedikit sebanyak kita dapat meringankan kesusahan yang dialami mangsa," katanya.

Sementara jurugambar Fathil Asri yang menyertai operasi itu berkata, penduduk yang terkandas di sekolah itu kelihatan bersorak gembira melihat bantuan makanan itu tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 6:07 PM