PEMAIN SK Batu 9 Jalan Bomba meraikan kejayaan memenangi Piala Sinergi.

Kuala Selangor: Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 9 Jalan Bomba mencatat sejarah apabila muncul juara sulung Piala Sinergi dalam Kejohanan Bola Sepak Antara Sekolah-sekolah Bawah 12 Tahun 2016, baru-baru ini.

Mereka menewaskan SK Bukit Belimbing menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat tanpa jaringan bagi menjulang trofi berprestij itu selain membawa pulang wang tunai RM500, pingat dan piala pusingan sumbangan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Pertandingan yang berlangsung di Padang SK Bandar Baru Kuala Selangor itu menarik penyertaan 14 pasukan lain yang menyaksikan SK Belimbing menerima RM300 selaku naib juara.

SK Puncak Alam yang memenangi tempat ketiga selepas menewaskan SK Parit Mahang juga menerusi sepakan penalti 5-4 membawa pulang RM200. SK Parit Mahang menerima RM100.

Pengerusi Kelab Bola Sepak Singergi, Sugumaran Arumugam berkata, pertandingan itu terbuka secara percuma kepada pasukan setiap sekolah dengan matlamat penganjurannya bagi membantu murid dan guru mengisi masa lapang pada penghujung penggal akhir persekolahan 2016.

“Kami juga menjadikan pertandingan ini sebagai platform terbaik dalam mencungkil bakat baharu bola sepak khususnya dari sekitar bandar ini dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 10:26 AM