POLIS berkawal di satu kejiranan di Tangerang selepas membunuh tiga suspek militan di sebuah rumah di kawasan berkenaan, semalam.  - EPA
POLIS berkawal di satu kejiranan di Tangerang selepas membunuh tiga suspek militan di sebuah rumah di kawasan berkenaan, semalam. - EPA
Agensi

Tangerang: Polis Indonesia menembak mati tiga suspek militan yang didakwa merancang serangan Tahun Baru dalam satu serbuan di pinggir Jakarta, semalam.

Jurucakap polis, Rikwanto berkata, penduduk di satu kawasan kejiranan dipindahkan selepas bom ditemui di dalam rumah yang disewa lelaki itu.

Ketua Polis Jakarta Mochamad Iriawan berkata, dua bom yang ditemui di dalam rumah terbabit berjaya dimusnahkan.

Menurut Rikwanto, ketiga-tiga lelaki itu melontar bahan letupan dan menembak polis ketika diminta menyerah diri.

Mereka ditembak mati selepas berbalas tembakan.

Seorang lagi lelaki yang ditahan di kawasan berkenaan membawa polis ke rumah yang digunakan suspek militan terbabit.

“Setiap tahun, Krismas dan sambutan Tahun Baru menjadi sasaran pengganas untuk melakukan ‘amaliyah’,” kata Rikwanto pada sidang akhbar, merujuk kepada perkataan Arab yang digunakan kumpulan militan yang bermakna pengeboman berani mati.

Katanya, polis percaya mereka yang terbabit dalam rancangan itu ada hubungan dengan beberapa militan yang ditahan di pinggir Jakarta pada 10 Disember lalu yang merancang serangan berani mati menyasarkan upacara pertukaran pengawal di Istana Presiden pada hari keesokannya.

Polis berkata, mereka menggagalkan rancangan itu yang membabitkan seorang wanita yang mendapat arahan daripada Bahrun Naim, warga Indonesia yang ketika ini terbabit dalam keganasan bersama kumpulan Daish di Syria.

Seorang lagi jurucakap polis berkata, seorang daripada suspek militan yang bernama Omen, pernah didapati bersalah atas tuduhan membunuh.

Dia beralih kepada aktiviti militan selepas dipengaruhi ketika di dalam penjara oleh seorang militan yang merancang pengeboman terhadap kedutaan Myanmar di Jakarta pada 2013.

Dua lagi lelaki yang mati semalam ialah anggota Jemaah Anshorut Daulah, kumpulan yang didakwa diketuai oleh Aman Abdurrahman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 10:50 AM